Buku
gelombang kebangkitan asia yang boleh dianggap sebagai magnum opus Anwar Ibrahim ini pada asalnya diterbitkan dalam bahasa
inggeris dengan tajuk The Asian
Renaissance. Cetakan pertama edisi bahasa
melayunya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1997.
Dalam usaha memahami gagasan yang dilontarkan
penulis, kira harus pertama-tamanya menginsafi hakikat bahawa buku ini ditulis
hampir dua puluh tahun yang lalu. Suatu zaman dimana benua Asia masih muda
remaja dan menjanjikan pelbagai janji dan harapan.
Buku ini yang terdiri daripada sembilan bab
merupakan kompilasi karya Anwar Ibrahim yang antaranya didasari ucapan beliau
di Royal Institute of International Affairs, Chatam House, London, serta
syarahan beliau di Universiti Georgetown, Washington D.C dan banyak lagi.
Manakala bab pertama buku ini. “Nahdah Asia”
merupakan artikel asli yang ditulis beliau sebagai dasar kepada kompilasi
penulisan buku yang agung ini.
Pada prakatanya, Anwar Ibrahim menjelaskan
bagaimana buku “Gelombang Kebangkitan Asia” ini bukan sekadar sebuah terjemahan
edisi asal bahasa inggeris “ The Asian Renaissance” bahkan sebuah pengolah dan
pengucapan semula idea yang memberi pertimbangan kepada gaya dan peribadi
bahasa melayu di samping psikologi dan kebiasaan mental khalayak yang menjadi
sasaran.
Pada pandangan saya, buku yang demikian holistik
ini merupakan antologi buah-buah fikiran Anwar Ibrahim berhubung cara
pentadbiran sebuah negara majmuk yang mencakupi aspek pendidikan, ekonomi,
kebajikan sosial, kematangan masyarakat , perkembangan Islam di negara-negara
Asia dan banyak lagi.
Di samping memuatkan pandangan beliau tentang
sejarah Asia, turut dinukilkan Anwar mengenai ramalannya terhadap masa depan
benua ini. Manakala entiti Barat sering kali di jadikan perbandingan baik
secara baik atau buruk akan gagasan yang ingin dilontarkannya.
BAB 1:
NAHDAH ASIA
Tema pokok bab ini adalah kebangkitan benua
Asia yang penuh kemajmukan, yang telah mula memainkan peranan sebagai kuasa
pencabar hagemoni Barat. Beliau menyifatkan
kebangkitan Asia sebagai sebuah pembangunan holistik yang nyata berbeza dengan
renaissance Eropah.
Anwar menyimpulkan bagaimana Asia telah
membangunkan kembali, selepas berabad penindasan dan penjajahan, segenap aspek
kenegaraan mencakupi ekonomi, tamadun dan kebudayaan. Pencapaian ini, berbeza
dengan Barat kerana Asia menjadikan prinsip moral dan agama sebagai dasar
utama.
Pada pandangan beliau, meskipun kemilau
kebangkitan Eropah selepas zaman gelap begitu menerangi bahkan mengintimidasi masyarakat Asia, ianya
lebih kepada sebuah pemberontakan moral khususnya terhadap kewibawaan agama dan
tradisi. Ini digambarkan beliau bagaimana dalam usaha mencapai kemajuan
duniawi, masyarakat Eropah telah mengangkat imej Prometheus yang disebut di dalam
mitos yunani. Prometheus yang sebelumnya menjadi lambang keingkaran insan kepada
tuhan, diangkat dan dipuja sebagai manusia yang bebas daripada aturan ilhiah
dan alamiah.
Pada pandangan Anwar, konsep kebangkitan Eropah
adalah bertentangan dengan konsep Islam dimana insan dianggap sebagai pentadbir
dunia (Khalifah Allah Fi’-ardh). Bahkan
kebejatan pembangunan superfisial Barat turut bertentangan dengan nilai-nilai Asia
lain seperti konsep Jen dalam Kung Fu
Tze malah dengan ajaran nasrani yang mengunggkapkan insan sebagai Imago Dei (wajah tuhan) yang menjadi penghubung
antara dunia dan akhirat. Perbezaan dasar kebangkitan antara Asia dan Eropah
adalah bertitik tolak daripada insan Asia, pada hakikatnya merupakan manusia
yang hidup berasaskan nilai keagamaan (persona
religiousus)
BAB 2: TIMUR
DAN BARAT
Bab ini membicarakan kesan dan langkah
adaptasi pertembungan antara peradaban Timur dan Barat. Atau dalam bahasa
lainnya antara benua Asia Dan Eropah.
Anwar mengibaratkan perasan cendekiawan Timur
menghadapi tamadun Barat dengan keresahan hati Juliet puteri Capulet apabila
terpaksa memilih antara keluargnya atau Romeo. Dilema ini timbul kerana Barat,
meskipun hadir pada awalnya sebagai penjajah, bukanlah raksasa monolitik yang
miskin peradaban. Meskipun masyarakat asia tidak menyetujui tindak-tanduk
barat, namun tidaklah selayaknya peradaban barat dianggap sama taraf dengan
manusia barbarian seperti puak
Monggol.
Anwar membahagikan tiga pendekatan warga Timur
dalam menghadapi kemelut ini. Yang pertama dengan meleburkan jati diri bangsa
sendiri dan menerima pengaruh barat secara bulat-bulat. Yang kedua sebagai
gerakan tradisi yang menolak sebarang apa yang berasal dari barat. Dan yang ketiga
iaitu golongan cendekiawan yang mencari jalan tengah untuk mengadun unsur-unsur
terbaik antara keduanya. Iaitu dengan menimba ilmu dan pengalaman Barat namun
pada masa yang sama mempertahankan identiti dan keperibadian bangsa.
Anwar mengambil contoh kemelut yang melanda
Jepun antara pihak pembaratan Jepun aliran Fukuzawa Yukichi dengan Motoda Eifu
yang menuntut pembentukan jati diri kejepunan terlebih dahulu sebelum menerima
pengaruh Barat dalam masyarakat. Jepun akhirnya memilih aliran yang kedua iaitu
mengasuh anak-anak mereka dalam kesusasteraan, sejarah dan budaya sendiri
sebelum didedahkan dengan pendidikan barat.
Dalam usaha menangani polemik ini, Anwar
tampil membawa gagasan Convivencia
sejagat (keharmonian sejagat) yang harus diperolehi dengan cara dialog antara
peradaban dalam usaha berterusan menolah anggapan sesebuah masyarakat kepada
masyarakat lain sebagai terra incognita(alam
yang tidak dikenali).
BAB 3: DEMOKRASI
DAN MASYARAKAT MADANI
Bab ini pada umumnya menghurai perkaitan
antara ekonomi, demokrasi dan masyarakat madani. Anwar menekankan kepentingan
masyarakat yang stabil dalam menjana pertumbuhan ekonomi yang mapan dan
kepentingan nilai demokrasi dalam usaha mencapai masyrakat tersebut. Tegasnya
lagi, Asia tidak mampu semata-mata bergantung kepada kekuatan ekonomi dalam
menuntut pertisipasi politik global.
Anwar turut merungkai apa yang dimaksudkan
dengan masyarakat madani menurut perspektif Islam. Menurutnya tunjang kepada
masyarakat madani dan demokrasi adalah pemeliharan kemulian insan (karamah
insaniah). Untuk menguatkan hujahnya,
beliau memetik kata-kata Ibn Qutaibah yang mengatakan “tiada yang lebih
mengagumkan seperti manusia”(nihil
spectari homine admirabilius). Serta memadukan kata-kata pengarang Khalq-Al-Insan ini dengan apa yang
desebut di dalam Hamlet oleh William Shakespear
yang memuji harga diri manusia. Ternyata beliau berjaya menegaskan sifat
universal kemulian insaniah dalam segenap tamadun.
Di dalam bab ini juga, Anwar Ibrahim
menekankan kepentingan pemerkasaan media massa sebagai pelangsung demokrasi. Hal
ini demi menghancurkan apa yang di sebut sebagai oriental despotism, yakni
penindasan ekonomi, sosial dan teknologi mengikut acuan lama.
Beliau menegaskan keupayaan media dengan
memetik kata-kata Napoleon Bonaparte yang mengatakan bahawa empat surat khabar
yang bermusuh lebih menggerunkan berbanding seribu senapang”. Pada pandangan
saya, sekiranya kita merenung revolusi perancis, seperti mana peranan Jean Paul
Maraat, ternyata kuasa media sungguh-sungguh menakjubkan dalam mencetus
perubahan.
Asia, menurut Anwar memerlukan medianya
berpegang kepada prinsip moral masyarakat dan nilai abadi masyarakat Asia. Berlawanan
dengan kebebasan media barat, media Asia harus memiliki komitmen dan prinsip
perjuangan tersendiri agar tidak hanyut tanpa arah tujuan.
BAB 4:
KEADILAN DAN UNDANG-UNDANG
Anwar memetik pendapat Al-Farabi dalam
meletakkan keadilan sebagai prinsip pembentukan Al-Madinah Al-Fadhilah, ataupun sebuah kota yang ideal. Keadilan,
menurut Al-Farabi adalah nilai yang tidak boleh dipertikai kerana ianya wujud
merentasi tamadun. Anwar turut memetik Aristotle dengan mengatakan bahawa
keadilanlah yang mengikat sosial masyarakat. Manakala Alexis De Tocqueville
pula menganggap keadilan sebagai satu-satunya undang-undang sejagat yang
disepakati manusia.
Di dalam buku ini, Anwar turut merenung realiti
keadilan seakan terkebelakang jika dibandingkan dengan ekonomi dan teknologi. Oleh
itu beliau menuntut agar perjuangan mendaulatkan keadilan diberi keutamaan dan
lebih bertenaga demi mengelakkan penggantian penindasan kuasa luar dengan kuasa
dalaman.
Pelaksanaan undang-undang
diletakkan sebagai asas penegakkan keadilan. Anwar Ibrahim meletakkan tiga asas
dalam usaha mendaulatkannya. Yang pertama, undang-undang sebagai penghalang
pemerintah bertindak sesuka hati. Kedua, segenap strata masyarakat tidak
terkecuali oleh tindakan undang-undang. Dan terakhir undang-undang haruslah bersikap
complementary bersama peruntukan perlembagaan dalam
menjaga hak asasi kebebasan peribadi masyarakat.
Di dalam bab ini, turut ditegaskan kebobrokan
sistem perundangan yang terbuka untuk diekspoitasi oleh golongan pemodal dalam
menzalimi golongan miskin. Tambah beliau lagi, usaha-usaha pemberian khidmat
guaman terbaik harus diberikan kepada orang-orang miskin demi memelihara sistem
perundangan agar dihormati.
Anwar turut memetik kata-kata Hakim Oliver Wendell
Holmes seratus tahun dahulu yang mengatakan bahawa sistem perundangan merupakan
legasi yang akan menjadi bukti kemajuan moral masyarakat.
BAB 5:
AKHLAK DAN EKONOMI
Dalam membahaskan falsafah ekonomi, seseorang
tidak dapat tidak harus menghurai dua blok utama pegerakan ekonomi dunia, dan
itulah yang telah dilakukan Anwar dalam bab ini. Penulisannya bermula mengenai
asal usus kapitalisme daripada sajak “The Grumbling Hives” oleh Bernard
Mandeville yang kemudianya mempengaruhi pemikiran Adam Smith yang
memperkemaskan pemikiran ini. Kapitalisme, menurut Mandeville, dianggap sebagai
dosa yang bermanfaat di mana ketamakan golongan berduit mencipta seribu satu
peluang pekerjaan kepada orang-orang miskin.
Bab ini
turut menyoroti perkembangan jatuh bangun Marxisme dengan mengambil contoh
empayar Soviet. Turut ditulis mengenai
pengaruh Marxisme di negara arab dalam bentuk al-istirakiyya al-arabiya, Marhaenism
dan NASAKOM di Indonesia, serta
konsep Ujamaa yang diasaskan oleh
Julius Nyerere di Tanzania.
Anwar Ibrahim kellihatan mengambil jalan
tengan dalam polemik ini, serta menganggap keperluan kepada tangan ghaib (kuasa
pasaran dalam kapitalisme) dan tangan nyata (kuasa kerajaan dalam sosialisme).
Menurut Anwar, ekonomi Islam merupakan paduan antara nilai-nilai molek yang
terdapat pada kedua blok falsafah ekonomi ini.
Islam menurutnya merupakan tamadun yang
menyokong pasaran bebas. Hal ini dibuktikan berdasarkan Hadis Nabi S.A.W yang
melarang penetapan harga di pasar. Namun, tambah Anwar lagi, Islam tidak
bertujuan melahirkan penindasan golongan kaya keatas marhaen. Maka dianjurkan
kebajikan sosial dan khidmat kemasyarakatan seperti zakat dan wakaf. Malahan,
islam turut memiliki sistem Hisbah sebagai polis pasaran yang akan mengelakkan
berlakunya monopoli dan manipulasi orang-orang kaya.
Hanya dengan perkembangan ekonomi berlandaskan
pembangunan insan, tegasnya lagi, kita dapat mencipta insan salih seperti yang disebut di dalam islam. Malahan matlamat
penciptaan manusia kelas tinggi ini turut dikongsi dalam ajaran Kung Fu Tze
yang dinamakan sebagai Chun Tzu.
BAB 6:
EKONOMI YANG MANUSIAWI
Secara umumnya
bab ini memperihalkan bagaimana manusia tidak berfungsi semata sebagai homo economicus yang mempercayai konsep determinism economy atau ekonomi
jabariyyah. Pendekatan terhadap aspek ekonomi haruslah sebagai satu langkah
seni, bukannya sekadar kejuruteraan dek kerana persangkut-pautan antara ekonomi
dan struktur sosial masyarakat.
Menurut Anwar lagi, meskipun peranan ekonomi
penting dalam pembinaan negara, langkah dalam menghadapi cabaranya haruslah
disertai dengan sifat tawadhu’ dan keinsafan akan keterbatasan ilmu manusia.
Tambahnya lagi, pengurusan ekonomi bukan
sekadar pengagihan sumber yang terbatas untuk memenuhi kehendak jasmani
manusia, bahkan merupakan pembahagian Kapital dalam memenuhi keperluan rohani,
akal dan naluri manusia terhadap keindahan. Perkembangan ekonomi yang manusiawi
harus mementingkan keduanya, iaitu nilai keusahawanan dan usaha mencari
kesejahteraan dan keselesaan hidup.
Bab ini
turut membicarakan tentang apa yang dimaksudkan dengan belajawan Keynes. Istilah ini membawa maksud perbelanjaan defisit,
atau perbelanjaan negara melebihi pendapatan. Belajawan Keynes telah
merovolusikan cara kerajaan mengurus kewangan negara di mana deficit budget tidak lagi diangap hina
berbanding sebelumnya. Kini belanjawan sebegini didasari dengan hujah kretiviti
dan pelaburan bijak demi masa hadapan.
Anwar mengulas mengenai bahayanya belanjawan Keynes
ini dengan menjadikan ketidaktentuan ekonomi global. Tegasnya meskipun
perbelanjaan defisit boleh berfungsi sebagai satu pelaburan, namun negara yang
terlalu banyak berhutang akan menjerumus diri mereka ke dalam kancah kegagalan
ekonomi. Tambahnya lagi,kesan belanjawan ini akan menjadi serius terhadap
negara membangun dimana sektor swastanya masih kecil anak yang akan menyebabkan
pertumbuhan keusahawanannya terbantut.
Satu perkara lagi yang disentuh adalah perihal
sistem percukaian. Pada Anwar, meskipun pemotongan cukai adalah sesuatu yang
baik sepertimana yang digagas oleh Ibn Khaldun di dalam Muqaddimah ,namun ianya harus disertai dengan pemotongan
perbelanjaan negara untuk menyeimbangkannya. Anwar mengambil contoh Amerika
Syarikat yang berubah daripada negara pemberi pinjaman kepada negara peminjam
dalam masa satu dekad. Di samping itu kegiatan rasuah harus diperangi agar
tidak membebankan masyarakat.
BAB 7:
KEUNGULAN BUDAYA
Bab ini kelihatan seperti ada hubung kait
tidak langsung dengan bab 2; Timur dan Barat. Di dalam bab ini kebanyakan
ideanya berkisar mengenai cabaran dalam pemuliharaan budaya masayrakat Asia
apabila bertembung dengan falsafah Barat serta pendekatan yang seharusnya
diambil bagi mendapat kebaikan antara keduanya.
Bab ini turut menyoroti polemik kebudayaan
yang melanda Indonesia yang dimulakan oleh Sutan Takdir Alisjahbana dan krisis
yang melanda Mesir dan dunia Arab oleh Taha Hussein.
Seperti di
dalam bab Timur Dan Barat, Anwar kelihatan mengambil jalan tengah apabila
menghidangkan pembaca dengan kata-kata Edward Said mengenai bahaya menjual
kejujuran intelektual untuk mendukung nasionalisme defensif. Anwar turut
membawakan idea novel Ali Mazrui di dalam “ The Trials of Christopher Okigbo”
yang menceritakan mengenai protagonist novel tersebut yang disoal di hari
akhirat akan mengapa dia menodai seninya untuk meraih kepentingan kabilah yang
sempit
Bab ini
turut memuatkan kepelbagaian budaya Asia yang berbeza nyata dengan budaya barat
yang homogenous. Kelihatan Anwar memberi
dorongan kepada benua Asia agar tampil membawa dan mempromosikan budaya mereka ke pentas global.
Turut membicarakan
mengenai peranan ilmu dalam pembentukan kasta sosial masyarakat, Anwar Ibrahim
membawa kita kembali ke zaman kegemilangan Islam di mana golongan yang berharta
tidak sama sekali melebihi darjat kemulian ilmuan seperti ahli hadis, ahli
falak, falsafah, syair dan sebagainya. Hal ini timbul kerana kesedaran
masyarakat Islam bahawa golongan
ilmuanlah yang membawa keagungan kepada tamadun mereka.
Anwar turut
menggaris pemisah antara perbezaan ilmu dan maklumat. Beliau kelihatan
mengkritik lambakan maklumat yang tidak didasari ilmu yang seharusnya menjadi
penghalang pemaknaan maklumat tersebut. Anwar menyebut bahawa meskipun lambakan
maklumat merupakan merupakan bahan asas pembinaan sistem ilmu, namun sekadar
melonggoknya tidak mencukupi. Bahkan sistem ilmu wujud melalui daya akliah dan
imaginasi untuk menyusun maklumat dalam kerangka yang bermakna dan difahami.
BAB 8: ISLAM
DI ASIA TENGGARA
Bab ini
mengisahkan tentang kedatangan, perkembangan dan masa depan umat islam di Asia
Tenggara. Dakwaan terhadap sifat orang Asia sebagai persona religiousus
sebagaimana pada bab Nahdah Asia dapat dilihat melalui kefahaman Anwar dalam
bab ini.
Pada permulaan Anwar bercerita mengenai
penyebaran agama Islam ke kerajaan-kerajaan melayu. Para pedagang yang datang
pada era kepulauan melayu berfungsi sebagai pelabuhan antarabangsa berperanan
sebagai pendakwah dan ahli tasawwuf, sebagaimana yang disebut di dalam Babad Tanah Jawi dan Sejarah Melayu.
Anwar turut
memuatkan tulisan Marco Polo yang telah melawat Perlak dan memerhati penyebaran
Islam yang kelihatan tertumpu pada bandar-bandar besar.
Dakwaan bahawa islam tersebar hanya melaui
mata pedang disanggah beliau apabila Anwar turut mengemukaan kata-kata T.W
Arnold di dalam “The Preaching Of Islam” yang mengatakan bahawa wujudnya
bukti-bukti yang jelas bahawa dakwah secara aman-damai telah wujud sejak enam ratus tahun lampau,
sekaligus menafikan peranan paksaan dan kekerasan sebagai penggerak penyebaran
Islam.
Bab ini turut mengkritik pandangan golongan
orientalis yang mendakwa bahawa umat islam di Asia Tenggara hanya beriman
secara superfisial malah di saluti agama-agama purba seperti Hinduism, Buddhism
dan Animisme.
Kata-kata Shierke dan Van Leur ini disanggah
oleh Naquib al-Attas yang mengatakan bahawa berdasarkan kesusateraan melayu
yang berunsurkan intelektual dan rasionalisme islam, terbukti agama Islam
begitu mempengaruhi perubahan mendalam yang melanda orang melayu. Sehingga unsur-unsur
tasawwuf mampu menyerap ke dalam seni muzik menyuarakan bisikan fikiran dan
perasaan halus luhur.
Tambah Anwar lagi, prinsip tasamuh atau kesederhanaan masyarakat melayu tidak sama sekali
berpunca daripada kekurangan kefahaman agama, bahkan merupakan hasil telekan
kepentingan (sense of priorities)
masyarakat Asia.
Bab Islam Di Asia Tenggara turut memuatkan polemik
yang melanda umat islam masa kini. Anwar tampil membawa gagasan agar para ulama
turut memiliki keupayaan dalam bidang keduniaan agar mereka dapat bertindak
sebagai pembimbing moral kepada masyarakat. Penulis melihat idea ini,
sebagiamana sesetengah idea Anwar Ibrahim yang lain, memiliki perkaitan rapat
dengan ideologi yang dipegang oleh Ustaz Fadzil Noor, mantan Presiden Parti
Islam Semalaysia (PAS). Tidak hairanlah ada suara-suara yang mengatakan kedua
tokoh ini saling belajar sesama mereka.
BAB 9: ASIA
DI MASA DEPAN
Dalam bab
terakhir ini Anwar menyifatkan kebangkitan benua Asia sebagai kesinambungan
gerakan-gerakan kebangkitan yang hadir lewat abad ke-19. Cita-cita gerakan ini
diungkap oleh Iqbal Si Penyair di dalam Zabur-e
Ajam .
“Membakar
semangat baru,
Untuk bangsa
dan zaman ini;
Memberi nyawa
baru,
Pada jasad
yang telah tua”
Anwar menjangkakan Asia akan menjadi antara
pemain utama kuasa politik dunia, maka beliau memberi nasihat kepada gelombang
kebangkitan ini agar apabila mereka mengimbangi hagemoni politik Barat,supaya
mereka tidak bersikap zalim dan menindas. Asia, menurutnya lagi harus membawa
sinar keadilan dan kebaikan. Tidak sukar untuk kita mencari alasan ramalan
beliau setelah diterangkan segala perbezaan kebangkitan dan semangat benua Asia
berbanding kebangkitan renaissance Eropah yang akhirnya terbukti cacat pada
hari ini.
Anwar turut
mengkrit sifat negara Barat yang begitu suka campur tangan dalam hal ehwal
Asia, khususnya dalam persoalan demokrasi. Sedangkan Barat sendiri mengambil
masa selama empat ratus lima puluh tahun sejak pengishtiharan Magna Carta
kepada revolusi 1688.
Pada penghujung bab ini, Anwar melihat
keperluan Timur dan Barat berkerjasama menjalin simbiosis kebudayaan untuk
menjayakan masyarakat manusia sejagat. Sudah tentu perkara ini terlebih dahulu
wajib di dahului dengan kebangkitan Asia agar seluruh umat manusia dapat duduk
sama rendah, berdiri sama tinggi tidak mengira bangsa dan sempadan.
PENUTUP
Telah disebut oleh sahabat saya, yang
dipanjangkan daripada sahabatnya bahawa Anwar Ibrahim itu, apabila berucap maka
tanpa kita sedari dia sedang memetik kata-kata daripada dua puluh buah buku. Ternyata
apabila saya membaca karyanya ini, ucapan itu benar belaka.
Sosok tubuh
Anwar Ibrahim, sebagaimana Mahathir dan Fadzil Noor adalah antara pemain catur
utama politik negara. Mungkin kita tidak bersetuju dengan setiap langkah
politik mereka, namun dengan rendah hati saya meminta agar dilapangkan dada,
mengambil yang jernih dan menyempadani yang keruh agar bersama kita dapat
membina Madinah al-Fadhilah untuk anak-anak kita.
Sepanjang usaha penulisan ini, saya sedaya
upaya cuba mengekalkan bahasa asal yang digunakan namun ada sesetengah idea
disusun kembali agar lebih mudah difahami dan membawa konklusi. Dan terdapat
banyak lagi nilai yang ingin ditulis namun terpaksa saya abaikan kerana
mengenang kedhaifan diri, bimbang saya tidak dapat berlaku adil kepada karya
ini. Maka saya serahkanlah kepada sekalian pembaca untuk mengkaji sendiri.
Sekian usaha saya tamatlah di sini, maka obor
penerang jalan saya serahkan kepada kalian untuk menemani perjalanan saudara
sendiri. Semoga beroleh manfaat dan mampu pula saudara berbakti kepada sesama
kita inshaallah.
Wallahua’lam
Ilham Mazalan