Saturday, October 31, 2015

“GELOMBANG KEBANGKITAN ASIA- SATU PENILAIAN”



  Buku gelombang kebangkitan asia yang boleh dianggap sebagai magnum opus Anwar Ibrahim ini pada asalnya diterbitkan dalam bahasa inggeris dengan tajuk The Asian Renaissance.  Cetakan pertama edisi bahasa melayunya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1997.

 Dalam usaha memahami gagasan yang dilontarkan penulis, kira harus pertama-tamanya menginsafi hakikat bahawa buku ini ditulis hampir dua puluh tahun yang lalu. Suatu zaman dimana benua Asia masih muda remaja dan menjanjikan pelbagai janji dan harapan.

 Buku ini yang terdiri daripada sembilan bab merupakan kompilasi karya Anwar Ibrahim yang antaranya didasari ucapan beliau di Royal Institute of International Affairs, Chatam House, London, serta syarahan beliau di Universiti Georgetown, Washington D.C dan banyak lagi.

 Manakala bab pertama buku ini. “Nahdah Asia” merupakan artikel asli yang ditulis beliau sebagai dasar kepada kompilasi penulisan buku yang agung ini.

 Pada prakatanya, Anwar Ibrahim menjelaskan bagaimana buku “Gelombang Kebangkitan Asia” ini bukan sekadar sebuah terjemahan edisi asal bahasa inggeris “ The Asian Renaissance” bahkan sebuah pengolah dan pengucapan semula idea yang memberi pertimbangan kepada gaya dan peribadi bahasa melayu di samping psikologi dan kebiasaan mental khalayak yang menjadi sasaran.

 Pada pandangan saya, buku yang demikian holistik ini merupakan antologi buah-buah fikiran Anwar Ibrahim berhubung cara pentadbiran sebuah negara majmuk yang mencakupi aspek pendidikan, ekonomi, kebajikan sosial, kematangan masyarakat , perkembangan Islam di negara-negara Asia dan banyak lagi.

 Di samping memuatkan pandangan beliau tentang sejarah Asia, turut dinukilkan Anwar mengenai ramalannya terhadap masa depan benua ini. Manakala entiti Barat sering kali di jadikan perbandingan baik secara baik atau buruk akan gagasan yang ingin dilontarkannya.

BAB 1: NAHDAH ASIA

 Tema pokok bab ini adalah kebangkitan benua Asia yang penuh kemajmukan, yang telah mula memainkan peranan sebagai kuasa pencabar hagemoni Barat.  Beliau menyifatkan kebangkitan Asia sebagai sebuah pembangunan holistik yang nyata berbeza dengan renaissance Eropah.

 Anwar menyimpulkan bagaimana Asia telah membangunkan kembali, selepas berabad penindasan dan penjajahan, segenap aspek kenegaraan mencakupi ekonomi, tamadun dan kebudayaan. Pencapaian ini, berbeza dengan Barat kerana Asia menjadikan prinsip moral dan agama sebagai dasar utama.

 Pada pandangan beliau, meskipun kemilau kebangkitan Eropah selepas zaman gelap begitu menerangi  bahkan mengintimidasi masyarakat Asia, ianya lebih kepada sebuah pemberontakan moral khususnya terhadap kewibawaan agama dan tradisi. Ini digambarkan beliau bagaimana dalam usaha mencapai kemajuan duniawi, masyarakat Eropah telah mengangkat imej Prometheus yang disebut di dalam mitos yunani. Prometheus yang sebelumnya menjadi lambang keingkaran insan kepada tuhan, diangkat dan dipuja sebagai manusia yang bebas daripada aturan ilhiah dan alamiah.

 Pada pandangan Anwar, konsep kebangkitan Eropah adalah bertentangan dengan konsep Islam dimana insan dianggap sebagai pentadbir dunia (Khalifah Allah Fi’-ardh). Bahkan kebejatan pembangunan superfisial Barat turut bertentangan dengan nilai-nilai Asia lain seperti konsep Jen dalam Kung Fu Tze malah dengan ajaran nasrani yang mengunggkapkan insan sebagai Imago Dei (wajah tuhan) yang menjadi penghubung antara dunia dan akhirat. Perbezaan dasar kebangkitan antara Asia dan Eropah adalah bertitik tolak daripada insan Asia, pada hakikatnya merupakan manusia yang hidup berasaskan nilai keagamaan (persona religiousus)

BAB 2: TIMUR DAN BARAT

 Bab ini membicarakan kesan dan langkah adaptasi pertembungan antara peradaban Timur dan Barat. Atau dalam bahasa lainnya antara benua Asia Dan Eropah.

  Anwar mengibaratkan perasan cendekiawan Timur menghadapi tamadun Barat dengan keresahan hati Juliet puteri Capulet apabila terpaksa memilih antara keluargnya atau Romeo. Dilema ini timbul kerana Barat, meskipun hadir pada awalnya sebagai penjajah, bukanlah raksasa monolitik yang miskin peradaban. Meskipun masyarakat asia tidak menyetujui tindak-tanduk barat, namun tidaklah selayaknya peradaban barat dianggap sama taraf dengan manusia barbarian seperti puak Monggol.

 Anwar membahagikan tiga pendekatan warga Timur dalam menghadapi kemelut ini. Yang pertama dengan meleburkan jati diri bangsa sendiri dan menerima pengaruh barat secara bulat-bulat. Yang kedua sebagai gerakan tradisi yang menolak sebarang apa yang berasal dari barat. Dan yang ketiga iaitu golongan cendekiawan yang mencari jalan tengah untuk mengadun unsur-unsur terbaik antara keduanya. Iaitu dengan menimba ilmu dan pengalaman Barat namun pada masa yang sama mempertahankan identiti dan keperibadian bangsa.

 Anwar mengambil contoh kemelut yang melanda Jepun antara pihak pembaratan Jepun aliran Fukuzawa Yukichi dengan Motoda Eifu yang menuntut pembentukan jati diri kejepunan terlebih dahulu sebelum menerima pengaruh Barat dalam masyarakat. Jepun akhirnya memilih aliran yang kedua iaitu mengasuh anak-anak mereka dalam kesusasteraan, sejarah dan budaya sendiri sebelum didedahkan dengan pendidikan barat.

 Dalam usaha menangani polemik ini, Anwar tampil membawa gagasan Convivencia sejagat (keharmonian sejagat) yang harus diperolehi dengan cara dialog antara peradaban dalam usaha berterusan menolah anggapan sesebuah masyarakat kepada masyarakat lain sebagai terra incognita(alam yang tidak dikenali).

BAB 3: DEMOKRASI DAN MASYARAKAT MADANI

  Bab ini pada umumnya menghurai perkaitan antara ekonomi, demokrasi dan masyarakat madani. Anwar menekankan kepentingan masyarakat yang stabil dalam menjana pertumbuhan ekonomi yang mapan dan kepentingan nilai demokrasi dalam usaha mencapai masyrakat tersebut. Tegasnya lagi, Asia tidak mampu semata-mata bergantung kepada kekuatan ekonomi dalam menuntut pertisipasi politik global.

  Anwar turut merungkai apa yang dimaksudkan dengan masyarakat madani menurut perspektif Islam. Menurutnya tunjang kepada masyarakat madani dan demokrasi adalah pemeliharan kemulian insan (karamah insaniah).  Untuk menguatkan hujahnya, beliau memetik kata-kata Ibn Qutaibah yang mengatakan “tiada yang lebih mengagumkan seperti manusia”(nihil spectari homine admirabilius). Serta memadukan kata-kata pengarang Khalq-Al-Insan ini dengan apa yang desebut di dalam Hamlet oleh William Shakespear yang memuji harga diri manusia. Ternyata beliau berjaya menegaskan sifat universal kemulian insaniah dalam segenap tamadun.

 Di dalam bab ini juga, Anwar Ibrahim menekankan kepentingan pemerkasaan media massa sebagai pelangsung demokrasi. Hal ini demi menghancurkan apa yang di sebut sebagai oriental despotism, yakni penindasan ekonomi, sosial dan teknologi mengikut acuan lama.

 Beliau menegaskan keupayaan media dengan memetik kata-kata Napoleon Bonaparte yang mengatakan bahawa empat surat khabar yang bermusuh lebih menggerunkan berbanding seribu senapang”. Pada pandangan saya, sekiranya kita merenung revolusi perancis, seperti mana peranan Jean Paul Maraat, ternyata kuasa media sungguh-sungguh menakjubkan dalam mencetus perubahan.

 Asia, menurut Anwar memerlukan medianya berpegang kepada prinsip moral masyarakat dan nilai abadi masyarakat Asia. Berlawanan dengan kebebasan media barat, media Asia harus memiliki komitmen dan prinsip perjuangan tersendiri agar tidak hanyut tanpa arah tujuan.

BAB 4: KEADILAN DAN UNDANG-UNDANG              

  Anwar memetik pendapat Al-Farabi dalam meletakkan keadilan sebagai prinsip pembentukan Al-Madinah Al-Fadhilah, ataupun sebuah kota yang ideal. Keadilan, menurut Al-Farabi adalah nilai yang tidak boleh dipertikai kerana ianya wujud merentasi tamadun. Anwar turut memetik Aristotle dengan mengatakan bahawa keadilanlah yang mengikat sosial masyarakat. Manakala Alexis De Tocqueville pula menganggap keadilan sebagai satu-satunya undang-undang sejagat yang disepakati manusia.

 Di dalam buku ini, Anwar turut merenung realiti keadilan seakan terkebelakang jika dibandingkan dengan ekonomi dan teknologi. Oleh itu beliau menuntut agar perjuangan mendaulatkan keadilan diberi keutamaan dan lebih bertenaga demi mengelakkan penggantian penindasan kuasa luar dengan kuasa dalaman.

 Pelaksanaan undang-undang diletakkan sebagai asas penegakkan keadilan. Anwar Ibrahim meletakkan tiga asas dalam usaha mendaulatkannya. Yang pertama, undang-undang sebagai penghalang pemerintah bertindak sesuka hati. Kedua, segenap strata masyarakat tidak terkecuali oleh tindakan undang-undang. Dan terakhir undang-undang haruslah bersikap complementary  bersama peruntukan perlembagaan dalam menjaga hak asasi kebebasan peribadi masyarakat.

 Di dalam bab ini, turut ditegaskan kebobrokan sistem perundangan yang terbuka untuk diekspoitasi oleh golongan pemodal dalam menzalimi golongan miskin. Tambah beliau lagi, usaha-usaha pemberian khidmat guaman terbaik harus diberikan kepada orang-orang miskin demi memelihara sistem perundangan agar dihormati.

Anwar turut memetik kata-kata Hakim Oliver Wendell Holmes seratus tahun dahulu yang mengatakan bahawa sistem perundangan merupakan legasi yang akan menjadi bukti kemajuan moral masyarakat.

BAB 5: AKHLAK DAN EKONOMI

  Dalam membahaskan falsafah ekonomi, seseorang tidak dapat tidak harus menghurai dua blok utama pegerakan ekonomi dunia, dan itulah yang telah dilakukan Anwar dalam bab ini. Penulisannya bermula mengenai asal usus kapitalisme daripada sajak “The Grumbling Hives” oleh Bernard Mandeville yang kemudianya mempengaruhi pemikiran Adam Smith yang memperkemaskan pemikiran ini. Kapitalisme, menurut Mandeville, dianggap sebagai dosa yang bermanfaat di mana ketamakan golongan berduit mencipta seribu satu peluang pekerjaan kepada orang-orang miskin.

 Bab ini turut menyoroti perkembangan jatuh bangun Marxisme dengan mengambil contoh empayar Soviet.  Turut ditulis mengenai pengaruh Marxisme di negara arab dalam bentuk al-istirakiyya al-arabiya, Marhaenism dan NASAKOM di Indonesia, serta konsep Ujamaa yang diasaskan oleh Julius Nyerere di Tanzania.

 Anwar Ibrahim kellihatan mengambil jalan tengan dalam polemik ini, serta menganggap keperluan kepada tangan ghaib (kuasa pasaran dalam kapitalisme) dan tangan nyata (kuasa kerajaan dalam sosialisme). Menurut Anwar, ekonomi Islam merupakan paduan antara nilai-nilai molek yang terdapat pada kedua blok falsafah ekonomi ini.

 Islam menurutnya merupakan tamadun yang menyokong pasaran bebas. Hal ini dibuktikan berdasarkan Hadis Nabi S.A.W yang melarang penetapan harga di pasar. Namun, tambah Anwar lagi, Islam tidak bertujuan melahirkan penindasan golongan kaya keatas marhaen. Maka dianjurkan kebajikan sosial dan khidmat kemasyarakatan seperti zakat dan wakaf. Malahan, islam turut memiliki sistem Hisbah sebagai polis pasaran yang akan mengelakkan berlakunya monopoli dan manipulasi orang-orang kaya.

 Hanya dengan perkembangan ekonomi berlandaskan pembangunan insan, tegasnya lagi, kita dapat mencipta insan salih seperti yang disebut di dalam islam. Malahan matlamat penciptaan manusia kelas tinggi ini turut dikongsi dalam ajaran Kung Fu Tze yang dinamakan sebagai Chun Tzu.

BAB 6: EKONOMI YANG MANUSIAWI

  Secara umumnya bab ini memperihalkan bagaimana manusia tidak berfungsi semata sebagai homo economicus yang mempercayai konsep determinism economy atau ekonomi jabariyyah. Pendekatan terhadap aspek ekonomi haruslah sebagai satu langkah seni, bukannya sekadar kejuruteraan dek kerana persangkut-pautan antara ekonomi dan struktur sosial masyarakat.

  Menurut Anwar lagi, meskipun peranan ekonomi penting dalam pembinaan negara, langkah dalam menghadapi cabaranya haruslah disertai dengan sifat tawadhu’ dan keinsafan akan keterbatasan ilmu manusia.

 Tambahnya lagi, pengurusan ekonomi bukan sekadar pengagihan sumber yang terbatas untuk memenuhi kehendak jasmani manusia, bahkan merupakan pembahagian Kapital dalam memenuhi keperluan rohani, akal dan naluri manusia terhadap keindahan. Perkembangan ekonomi yang manusiawi harus mementingkan keduanya, iaitu nilai keusahawanan dan usaha mencari kesejahteraan dan keselesaan hidup.

  Bab ini turut membicarakan tentang apa yang dimaksudkan dengan belajawan Keynes. Istilah ini membawa maksud perbelanjaan defisit, atau perbelanjaan negara melebihi pendapatan. Belajawan Keynes telah merovolusikan cara kerajaan mengurus kewangan negara di mana deficit budget tidak lagi diangap hina berbanding sebelumnya. Kini belanjawan sebegini didasari dengan hujah kretiviti dan pelaburan bijak demi masa hadapan.

 Anwar mengulas mengenai bahayanya belanjawan Keynes ini dengan menjadikan ketidaktentuan ekonomi global. Tegasnya meskipun perbelanjaan defisit boleh berfungsi sebagai satu pelaburan, namun negara yang terlalu banyak berhutang akan menjerumus diri mereka ke dalam kancah kegagalan ekonomi. Tambahnya lagi,kesan belanjawan ini akan menjadi serius terhadap negara membangun dimana sektor swastanya masih kecil anak yang akan menyebabkan pertumbuhan keusahawanannya terbantut.

 Satu perkara lagi yang disentuh adalah perihal sistem percukaian. Pada Anwar, meskipun pemotongan cukai adalah sesuatu yang baik sepertimana yang digagas oleh Ibn Khaldun di dalam Muqaddimah ,namun ianya harus disertai dengan pemotongan perbelanjaan negara untuk menyeimbangkannya. Anwar mengambil contoh Amerika Syarikat yang berubah daripada negara pemberi pinjaman kepada negara peminjam dalam masa satu dekad. Di samping itu kegiatan rasuah harus diperangi agar tidak membebankan masyarakat.

BAB 7: KEUNGULAN BUDAYA

  Bab ini kelihatan seperti ada hubung kait tidak langsung dengan bab 2; Timur dan Barat. Di dalam bab ini kebanyakan ideanya berkisar mengenai cabaran dalam pemuliharaan budaya masayrakat Asia apabila bertembung dengan falsafah Barat serta pendekatan yang seharusnya diambil bagi mendapat kebaikan antara keduanya.

 Bab ini turut menyoroti polemik kebudayaan yang melanda Indonesia yang dimulakan oleh Sutan Takdir Alisjahbana dan krisis yang melanda Mesir dan dunia Arab oleh Taha Hussein.

 Seperti di dalam bab Timur Dan Barat, Anwar kelihatan mengambil jalan tengah apabila menghidangkan pembaca dengan kata-kata Edward Said mengenai bahaya menjual kejujuran intelektual untuk mendukung nasionalisme defensif. Anwar turut membawakan idea novel Ali Mazrui di dalam “ The Trials of Christopher Okigbo” yang menceritakan mengenai protagonist novel tersebut yang disoal di hari akhirat akan mengapa dia menodai seninya untuk meraih kepentingan kabilah yang sempit
Bab ini turut memuatkan kepelbagaian budaya Asia yang berbeza nyata dengan budaya barat yang homogenous. Kelihatan Anwar memberi dorongan kepada benua Asia agar tampil membawa dan mempromosikan  budaya mereka ke pentas global.

 Turut membicarakan mengenai peranan ilmu dalam pembentukan kasta sosial masyarakat, Anwar Ibrahim membawa kita kembali ke zaman kegemilangan Islam di mana golongan yang berharta tidak sama sekali melebihi darjat kemulian ilmuan seperti ahli hadis, ahli falak, falsafah, syair dan sebagainya. Hal ini timbul kerana kesedaran masyarakat Islam  bahawa golongan ilmuanlah yang membawa keagungan kepada tamadun mereka.

 Anwar turut menggaris pemisah antara perbezaan ilmu dan maklumat. Beliau kelihatan mengkritik lambakan maklumat yang tidak didasari ilmu yang seharusnya menjadi penghalang pemaknaan maklumat tersebut. Anwar menyebut bahawa meskipun lambakan maklumat merupakan merupakan bahan asas pembinaan sistem ilmu, namun sekadar melonggoknya tidak mencukupi. Bahkan sistem ilmu wujud melalui daya akliah dan imaginasi untuk menyusun maklumat dalam kerangka yang bermakna dan difahami.

BAB 8: ISLAM DI ASIA TENGGARA

 Bab ini mengisahkan tentang kedatangan, perkembangan dan masa depan umat islam di Asia Tenggara. Dakwaan terhadap sifat orang Asia sebagai persona religiousus sebagaimana pada bab Nahdah Asia dapat dilihat melalui kefahaman Anwar dalam bab ini.

 Pada permulaan Anwar bercerita mengenai penyebaran agama Islam ke kerajaan-kerajaan melayu. Para pedagang yang datang pada era kepulauan melayu berfungsi sebagai pelabuhan antarabangsa berperanan sebagai pendakwah dan ahli tasawwuf, sebagaimana yang disebut di dalam Babad Tanah Jawi dan Sejarah Melayu.

 Anwar turut memuatkan tulisan Marco Polo yang telah melawat Perlak dan memerhati penyebaran Islam yang kelihatan tertumpu pada bandar-bandar besar.

 Dakwaan bahawa islam tersebar hanya melaui mata pedang disanggah beliau apabila Anwar turut mengemukaan kata-kata T.W Arnold di dalam “The Preaching Of Islam” yang mengatakan bahawa wujudnya bukti-bukti yang jelas bahawa dakwah secara aman-damai  telah wujud sejak enam ratus tahun lampau, sekaligus menafikan peranan paksaan dan kekerasan sebagai penggerak penyebaran Islam.

 Bab ini turut mengkritik pandangan golongan orientalis yang mendakwa bahawa umat islam di Asia Tenggara hanya beriman secara superfisial malah di saluti agama-agama purba seperti Hinduism, Buddhism dan Animisme.

  Kata-kata Shierke dan Van Leur ini disanggah oleh Naquib al-Attas yang mengatakan bahawa berdasarkan kesusateraan melayu yang berunsurkan intelektual dan rasionalisme islam, terbukti agama Islam begitu mempengaruhi perubahan mendalam yang melanda orang melayu. Sehingga unsur-unsur tasawwuf mampu menyerap ke dalam seni muzik menyuarakan bisikan fikiran dan perasaan halus luhur.

 Tambah Anwar lagi, prinsip tasamuh atau kesederhanaan masyarakat melayu tidak sama sekali berpunca daripada kekurangan kefahaman agama, bahkan merupakan hasil telekan kepentingan (sense of priorities) masyarakat Asia.

 Bab Islam Di Asia Tenggara turut memuatkan polemik yang melanda umat islam masa kini. Anwar tampil membawa gagasan agar para ulama turut memiliki keupayaan dalam bidang keduniaan agar mereka dapat bertindak sebagai pembimbing moral kepada masyarakat. Penulis melihat idea ini, sebagiamana sesetengah idea Anwar Ibrahim yang lain, memiliki perkaitan rapat dengan ideologi yang dipegang oleh Ustaz Fadzil Noor, mantan Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS). Tidak hairanlah ada suara-suara yang mengatakan kedua tokoh ini saling belajar sesama mereka.

BAB 9: ASIA DI MASA DEPAN

 Dalam bab terakhir ini Anwar menyifatkan kebangkitan benua Asia sebagai kesinambungan gerakan-gerakan kebangkitan yang hadir lewat abad ke-19. Cita-cita gerakan ini diungkap oleh Iqbal Si Penyair di dalam Zabur-e Ajam .

“Membakar semangat baru,
Untuk bangsa dan zaman ini;
Memberi nyawa baru,
Pada jasad yang telah tua”

 Anwar menjangkakan Asia akan menjadi antara pemain utama kuasa politik dunia, maka beliau memberi nasihat kepada gelombang kebangkitan ini agar apabila mereka mengimbangi hagemoni politik Barat,supaya mereka tidak bersikap zalim dan menindas. Asia, menurutnya lagi harus membawa sinar keadilan dan kebaikan. Tidak sukar untuk kita mencari alasan ramalan beliau setelah diterangkan segala perbezaan kebangkitan dan semangat benua Asia berbanding kebangkitan renaissance Eropah yang akhirnya terbukti cacat pada hari ini.

 Anwar turut mengkrit sifat negara Barat yang begitu suka campur tangan dalam hal ehwal Asia, khususnya dalam persoalan demokrasi. Sedangkan Barat sendiri mengambil masa selama empat ratus lima puluh tahun sejak pengishtiharan Magna Carta kepada revolusi 1688.

 Pada penghujung bab ini, Anwar melihat keperluan Timur dan Barat berkerjasama menjalin simbiosis kebudayaan untuk menjayakan masyarakat manusia sejagat. Sudah tentu perkara ini terlebih dahulu wajib di dahului dengan kebangkitan Asia agar seluruh umat manusia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi tidak mengira bangsa dan sempadan.

PENUTUP

  Telah disebut oleh sahabat saya, yang dipanjangkan daripada sahabatnya bahawa Anwar Ibrahim itu, apabila berucap maka tanpa kita sedari dia sedang memetik kata-kata daripada dua puluh buah buku. Ternyata apabila saya membaca karyanya ini, ucapan itu benar belaka.
  
Sosok tubuh Anwar Ibrahim, sebagaimana Mahathir dan Fadzil Noor adalah antara pemain catur utama politik negara. Mungkin kita tidak bersetuju dengan setiap langkah politik mereka, namun dengan rendah hati saya meminta agar dilapangkan dada, mengambil yang jernih dan menyempadani yang keruh agar bersama kita dapat membina Madinah al-Fadhilah untuk anak-anak kita.

  Sepanjang usaha penulisan ini, saya sedaya upaya cuba mengekalkan bahasa asal yang digunakan namun ada sesetengah idea disusun kembali agar lebih mudah difahami dan membawa konklusi. Dan terdapat banyak lagi nilai yang ingin ditulis namun terpaksa saya abaikan kerana mengenang kedhaifan diri, bimbang saya tidak dapat berlaku adil kepada karya ini. Maka saya serahkanlah kepada sekalian pembaca untuk mengkaji sendiri.

Sekian usaha saya tamatlah di sini, maka obor penerang jalan saya serahkan kepada kalian untuk menemani perjalanan saudara sendiri. Semoga beroleh manfaat dan mampu pula saudara berbakti kepada sesama kita inshaallah.


 Wallahua’lam

Ilham Mazalan

No comments:

Post a Comment