Wednesday, September 16, 2015

MENILAI KEMBALI BIAH SOLEHAH


 Pendahuluan

 Seringkali sebuah ungkapan, apabila diungkapkan berkali-kali, seakan hilang makna asalnya. Seluas lautan biru jernih menjadi sesempit sungai nan keruh, gunung tinggi nian jadinya busut tempat semut berteduh. Lafaz cinta suci seorang lelaki kepada kekasihnya bahkan kadangkala turut menjadi langka ertinya andai diungkap sehari-hari seperti kakaktua di dalam sangkar.Dan demikian lah juga yang terjadi kepada ungkapan yang ingin penulis diskusikan pada kali ini.

   Entah bila berubah maknanya, ungkapan ‘biah solehah’ yang berasal daripada  Bahasa Arab ini, yang pada asalnya bermakna sebuah masyarakat ideal, boleh berubah menyentuh semata-mata soal pergaulan antara gadis dan teruna. Seolah-olah kesopanan muamalah semata mampu membina tamadun berguna.Seolah-olah Kerajaan Melayu lama yang dijajah itu miskin adab dan akhlaknya.

  Benar akhlak antara gadis dan teruna itu, lahirnya daripada jiwa matang yang beragenda, bukan daripada kemelaratan sahsiah binatang manusia miskin akhirat. Namun secupak tak akan menjadi segantang, andai tidak ditanam, dituai bersama.

  Maka di sini, sedaya penulis akan cuba dihuraikan rinci tentang kalimat Biah Solehah ini, dengan harapan dapatnya menerang kelam senja arus post-modernisma. Dengan harapan setiap benci dan amarah beralas pula dengan rindu dan mesra.


Definisi Biah Solehah
 Adapun kalimat ini, asalnya seperti yang dibicara di atas tadi, iaitu Bahasa ayahanda Rasul Muhammad, penghulu sekali alam. Dalam bahasa melayunya dapat diberikan makna sebagai sebuah iklim yang baik, yakni sebuah masyarakat ideal yang dibina daripada ikatan syariat Islam, satu-satunya agama yang diredha Allah yang kasih sayangnya kepada kita usahlah dipersoal lagi.

  Dan kita, seringkali ditimpa kesulitan dalam membahaskan perkara ini, kerana tafsiran berkenaan sebuah masyarakat islam seringkali membawa kepada keluasan dan kesyumulan agama itu sendiri. Makanya bolehlah kita berbeza pandangan dalam berhujah tentang apa itu masyarakat ideal menurut islam. Setiap pandangan haruslah dinilai melalui setiap lebenswelt pengutaranya, kerana ternyata putaran planet biru ini sedemikian laju, sehingga entah dalil mana yang boleh diaggap baru.

  Di sisi penulis sendiri, Sebuah Biah solehah ada perkaitan langsung dengan metodologi pembinaan sebuah tamadun matang. Hal ini demikian kerana keduanya berputar kepada functional unit yang sama iaitu manusia itu sendiri, baik secara individu mahupun secara kolektif.

  Pada pandangan penulis, sebuah biah soleh ialah sebuah komuniti manusia yang beramal dengan nilai-nilai kebaikan. Di samping itu, ianya bersifat mandir, iaitu mampu terus wujud dan memperbaiki dirinya sendiri. Sebuah ciri yang penting dalam pembinaan tamadun ideal seperti mana dikemuka kan oleh Jean Jacques Russeau di dalam karyanya, Discourse On The Origin Of Inequality. Ciri yang ketiga  bagi sebuah Biah Solehah pula ianya haruslah bersifat seperti air yang mengalir membasahi lembah, iaitu bukan sahaja baik dengan sendirinya, bahkan mampu mempengaruhi manusia lain untuk turut menjadi baik. Dalam bahasa lainnya ianya harus bersifat inklusif.

  Nilai yang luhur, kemandirian dan inklusif, Ketiga-tiga kata kunci ini penulis percaya andai dinilai dengan adil, maka dapatlah bersama kita leraikan kusut simpulan yang melanda ummah dalam soal Biah Solehah ini.

Masyarat Madani Berjiwa Luhur

  Sebuah masyarakat madani yang luhur, ataupun sebuah warga sivil yang mulia seharusnya mereka memiliki kuali-kualiti kemulian nilai peribadi. Timbul beberapa permasalahan dalam perihal ini terutamanya dalam memilih perkara apa yang harus dianggap sebagai nilai murni.  Andai kita melihat kembali lipatan sejarah, kita akan mendapati wujudnya proses alterasi terhadap corak pandangan masyarakat terhadap sesuatu nilai.

  Sesuatu perkara yang dianggap  nilai pada satu zaman, boleh dianggap tidak berciri kemuliaan  pada zaman yang lain. Dekonstruksi dan rekonstruksi jaringan nilai murni sebuah masyarakat, khususnya yang tidak mengimani konsep kebenaran mutlak adalah suatu perbahasan aspek sosial yang sangat meletihkan bahkan kadangkala , menyedihkan.

  Sungguh bertuah sekali umat Islam kerana dianugerahkan dua permata yang menerangi kelam perjalanan menempa kejayaan tamadun yang ruwet ini. Al Quran dan As Sunnah telah menjadi jalan singkat kearah pembinaan tatasusila masyarakat kerana kandungan nilai murni yang didatangkan daripada Tuhan sendiri. Keduanya Membentuk sebuah antologi nilai-nilai murni yang merentas dimensi zaman dan tempat. Sebuah antologi yang  kekal sehingga akhir masa.

  Dari satu sudut, bolehlah dianggap kejayaan Islam mengeluarkan Jazirah Arab daripada kemunduran agung sebagai manifestasi kod tatasusila yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.Hal ini tidak berlaku kepada tamadun lain melainkan islam sahaja. Kekurangan kod tatasusila merencat proses bergerak kehadapan kerana kurangnya disiplin dan konsistensi dalam memacu arah pembangunan.

 Daripada pengamatan ini, terhurailah rahsia bagaimana sebuah wilayah hina, yang enggan ditakluk oleh kerajaan Parsi dan Byzantine kerana bimbang terpalit kehinaannya berubah menjadi kuasa besar dalam jangka masa yang demikian singkat. Maka darihal itu penulis mengajak sekalian warga untuk senantiasa memelihara kemulian dua permata ini dari sebarang inovasi dan penyalah tafsiran.

Kemandirian Masyarakat Yang Luhur

  Sebuah biah solehah, tidak dibina melainkan untuk terus wujud. Ianya bukanlah simbolik kejayaan seorang pemimpin yang mahu kelihatan berjaya mengurus manusia semata. Bahkan, ianya sebuah legasi yang terus-menerus berkhidmat bakti kepada manusiawi.

  Seringkali seorang pemimpin itu, dalam usaha membentuk sebuah biah solehah cenderung memanipulasi kuasa dan pengaruh dalam membentuk model masyarakat ideal versinya sendiri. Maka digunanya kekerasan dalam melentur hati manusia. Dilaksanakan program-program moral policing dalam usaha menempa kejayaan segera. Segalanya dilakukan di atas nama agama. Sehingga sesiapa yang menentang usahanya, dianggap musuh kepada agama Tuhan.

  Sebuah Biah Solehah tidak boleh dibentuk begini. Apalah ertinya keris yang lekas siap andai tidak berpamor indah, bahkan retak menanti belah apabila bertikaman!
  Sedangkan membuat keris itu sendiri harus berseni, apakah empu keris sezaman moyang masih berhak mengaku ahli sepanjang zaman? Bagaimana mahu dibina sebuah legasi andai pemimpin tidak boleh ditegur?

  Makanya disini dicoretkanlah penulis sebuah pesanan kepada sekalian mereka yang memimpin masyarakat agar senantiasa mendengar suara nasihat anak-anak jagaan mereka dalam menata biah solehah. Apalah erti sebatang cengal jikalau tidak kerana akarnya utuh mencengkam bumi.

  Dalam memastikan sebuah biah solehah yang dibina terus utuh, tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Ibarat bedar membelah badai hitam hati manusia, maka hendaklah senantiasa ia ditegur dan ditambah baik dari zaman ke zaman. Dengan berputarnya alam, semakin dililit kemas ikatannya. Dan bagaimanakah ini mampu terjadi andai pemimpin tidur tidak sebantal?

Air Yang Mengaliri Lembah

  Selesai kita berbicara tentang jasad sesebuah biah solehah itu, dan setelah habis dicoret kepentingan agar ianya bersifat dinamik dan beradaptasi, maka ditintakan pula disini apa yang diertikan sebagai sebuah masyarakat ideal yang sifatnya mendamai dan menyuburkan. Ia boleh menjadi sumur di ladang tempat dagang melempias hausnya, boleh juga mengalir tenang menjadikan bumi indah kehijauan.

  Adapun diceritakan di dalam sebuah hadis junjungan;
  “Seseorang berada atas agama sahabat baiknya. Maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapakah dia jadikan teman rapatnya “(Riwayat Ahmad, dinilai hasan oleh al-Albani).

 Maka persoalan yang timbul adalah, sejauh mana peranan biah solehah mempengaruhi perbuatan seorang manusia, sehingga dianjur cara memilih sahabat oleh baginda Rasul?

  Adapun di dalam kajian sains psikologi barat, setelah indera yang lima mencerap maklumat di dalam kefanaan dunia, maka disampaikan pula kepada deria akal untuk melakukan proses reasoning. Iaitu fasa memproses maklumat mengikut baik dan buruk lantas di manifestasi melalui perbuatan.

  Adapun sebagai seorang muslim, penulis percaya ianya tidak terus demikian. Ternyata setelah dicerap indera yang lima lalu disampai kepada aqal, maka harus pula ianya turun ke hati untuk dinilai benar-salahnya. Sekiranya tiada proses ini maka apakah yang membezakan antara kita dan mergastua? Di mana letaknya nilai kemanusian andai sesuatu perbuatan dinilai diatas paksi untung rugi sahaja?

Kembali kepada proses awal,sebelum cerapan inderawi itu sampai kepada akal, maka ianya terlebih dahulu sampai kepada dua perkara, iaitu social learning dan natural instinct


  Natural instinct yang bermakna naluri alami boleh didefinisikan sebagai nilai intrinsik yang wujud di dalam sanubari manusia. Ianya merupakan sebuah kualiti yang wujud tanpa perlu melalui proses pembelajaran. Tariq Ramadhan, mengumpakannya sebagai a state of fitrah, iaitu keadaan tulen jiwa manusia sebelum dicemari sepanjang proses membesarnya seorang anak kecil. Tambahnya lagi, tujuan asasi manusia hidup, ialah untuk mencapai kembali status suci sebagaimana manusia dilahirkan, dengan berpandukan proses pembelajaran intelektual.

  Manakala social learning pula,ungkapan yang dipopularkan oleh Albert Bandura ini merupakan kesinambungan kepada traditional behavioral theory yang menganggap proses pembelajaran manusia itu semata berasaskan pembelajaran langsung.

  Menurut Albert Bandura, manusia juga mampu belajar, selain daripada di dalam bilik darjah, melalui pengamatan terhadap komuniti sekitarnya. Proses pembelajaran disifatkannya sebagai sebuah usaha kognitif yang mampu berlaku secara tidak langsung dengan memerhatikan masyarakat sekeliling.

  Namun apa pula kaitan teori-teori ini dengan perbahasan kita? Adapun setelah dibandingkan antara naluri semula jadi dan proses social learning, kita akan mencapai kesimpulan bahawa semakin kompleks sistem neuron sesebuah makhluk, akan berkuranglah kebergantungannya kepada naluri alami. Proses-proses pembelajaran bawah sedar adalah lebih tertumpu kepada suasana komuniti itu sendiri. Dari itu, ternyata bertepatan sekali saranan Rasul junjungan agar kita berhati-hati dalam memilih rakan.

 Sebagai kesimpulan, meskipun seseorang itu tidak belajar secara langsung dari masyarakatnya, namun tempias nilai-nilai yang dikongsi bersama itu tetap terpalit kepadanya secara minda bawah sedar. Maka bertambah-tambah lagi kepentingan pembinaan sebuah biah solehah dalam menyahut seruan baginda Rasul.
 
Beberapa Nasihat Dalam Menasihati

  Dalam berdiskusi tentang biah solehah ini, tidak dapat tidak harus juga dirincikan tentang adab dan akhlak dalam memberi nasihat. Sungguhpun proses social learning berperanan penting dalam pembentukan minda bawah sedar, namun akal yang waras masih menjadi penentu utama dalam membentuk perlakuan manusia yang menjadi functional unit sesebuah masyarakat. Nasihat yang berhikmah seringkali diutarakan sebagai solusi. Namun apakah yang diertikan sebagai sebuah nasihat yang berhikmah itu sendiri?

  Di sini penulis coretkan tiga prinsip asas dalam berdakwah dan menasihati yang dikarang oleh tokoh pemikir Islam, Ismail Raji Al-Faruqi. Penulis memilih nasihat-nasihat baiknya kerana memikirkan betapa culas ummah hari ini dalam mengalirkan jernihnya biah solehah sehingga kadangkala merosakkan tanam-tanaman dek kerana usaha-usaha melarikan diri daripada tanggungjawab seperti melepaskan batuk di tangga.

  Ciri pertama yang digaris Al-Faruqi adalah kebebasan. Menurutnya, dakwah tanpa elemen kebebasan merupakan sebuah capital crime yang tidak boleh dimaafkan. Sesebuah usaha dakwah hanya mampu disempurnakan dengan adanya integriti kebebasan  antara yang menasihati dan dinasihatkan.

  Atas dasar apakah Al-Faruqi menyenaraikan nilai ini sebagai asas sesebuah penyeruan kepada tuhan?

  Kebebasan untuk menerima atau tidak, adalah asas kepada penghormatan nilai intelektual seorang manusia. Setiap amal yang terhasil daripada iman yang teguh itu, pada asalnya merupakan penerimaan terhadap ideologi yang disampaikan. Terus mana mungkin sebuah akal yang sihat menerima sebuah wacana andai kehormatan intelektualnya tidak dipenuhi? Berdasarkan konsep inilah penulis membangkang konsep moral policing sebagaimana disebut sebelum ini.

  Tujuan dakwah itu, adalah untuk menyeru manusia berfikir akan kebenaran tuhan. Ianya bukanlah sebuah indoktrinasi yang melahirkan ekstrimis yang buta mata hati. Agama bukanlah sebuah parti politik yang memerlukan pengikutnya taat membuta tuli.

  Nilai yang kedua pula adalah pendekatan rasional. Dalam menasihati, elemen ini turut menjadi komponen dalam memuliakan intektual manusia. Erti rasional menurutnya adalah untuk berlandaskan fakta dan hujah, bukan emosi yang tidak waras serta penuh penghukuman. Ulasnya lagi, sebarang keputusan untuk berubah, hendaklah juga  di atas paksi rasionaliti. Dalam erti kata lain, seseorang yang dinasihati hendaklah diberi ruang untuk menimbang tara hujah yang diberikan oleh yang menasihatinya.

  Al-Faruqi menentang konsep menekan mereka yang didakwah baik secara psychopathic expansion, mahupun secara psychotropic induction. Secara mudahnya, pendekatan licik dalam berdakwah secara memainkan isu emosional, lantas melarikan diri daripada pendekatan rasional hendaklah dielakkan. Termasuklah di dalamnya pendekatan memanfaatkan situasi tragis sebagai sebuah pathos dalam memujuk manusia kepada tuhan.

  Selesai ditinta yang awal dan kedua, penulis coretkan pula nilai ketiga daripada perspektif Al-Faruqi iaitu sifat universal nilai dalam berdakwah.

  Seringkali kita menggelar sahabat-sahabat islam kita sebagai saudara seagama, sehingga acap pula kita lupa hakikat bahawa mereka-mereka yang tidak dikurniakan nikmat islam itu, hakikatnya juga adalah saudara sepencipta.

  Adapun hakikatnya tidaklah syaitan dan jin yang menjadikan umat Kristian dan Yahudi. Dan masyarakat atheist itu sendiri tidaklah mereka berasal daripada proses evolusi seekor beruk meskipun mereka mengaku demikian. Allah yang maha besar, telah menciptakan segenap manusia di dunia ini. Dan ditiupkan ke dalam hati mereka nilai-nilai murni yang sifatnya universal, tidak berbeza antara sesuatu penganut agama dengan dengan yang lain.

  Sifat cintakan kedamaian, membenci kezaliman, cinta pada ibu bapa dan sebagainya adalah nilai fitrah yang diwujudkan semenjak setiap anak Adam itu lahir. Sebahagian fitrah ini hilang, khususnya apabila mereka tidak lagi menjadikan Rabbul Jalil sebagai tempat berpaling.Namun tidaklah berhak mana-mana muslim mengaanggap hanya ummat islam sahaja yang baik akhlaknya.
 
  Adapun tujuan kita berdakwah itu adalah untuk membawa rahmat agama Islam kepada sekalian warga dunia Ilahi, Namun seringkali kita tersilap langkah dalam menjayakan gagasan mulia ini.

  Pada pengamatan penulis, telah wujud suatu penyakit dalam kalangan muslim hari ini untuk terlalu gopoh mengislamkan manusia. Pernah suatu ketika seorang pemain bola sepak professional mengesahkan bahawa dia seorang muslim, maka bersorak lah sekalian bala tentera netizen islam mendengarnya. Sungguh meggelikan hati memikirkan bagaimana sorakan gembira mereka menyepi tidak lama kemudian, kerana pemain bola itu terpalit kontroversi pedofilia.

  Pada pandangan penulis, hanya mereka yang tidak pernah hidup bersama masyarakat bukan islam sahaja yang mengenepikan nilai universal ini. Metodologi dakwah mereka hanyalah teori yang tidak pernah diuji kerana takut meninggalkan zon selesa.

  Apabila menasihati, maka dekatkan hati mereka kepada nilai-nilai universal yang hakikatnya diciptakan Allah jua. Tidak ada maknanya kita meramaikan bilangan ummat andai fitrahnya bersimpang siur. Apakah kita mahu melahirkan sebuah lagi Islamic state of Iraq and Syria (isis)?

  Di dalam sebuah hadis yang terkenal ada disebut tentang peristiwa penyakit akhir zaman yang melanda umat islam. Sabda baginda ketika itu umat Islam ramai jumlahnya namun seperti buih di lautan.

  Ternyata pada sabda baginda, nilai kuantiti itu tidak sekali-kali akan pernah kurang pada umat Islam. Bahkan Islam sendiri sering dikaitkan sebagai agama yang paling cepat berkembang. Namun sayang pada masa yang sama aktiviti terorisme juga turut di terpalit kepada umat pilihan ini.

 Sudah tentu kita boleh sahaja mengatakan ianya fitnah daripada barat. Kita boleh mengatakan bahawa ISIS itu ciptaan MOSSAD, namun saudara kita di kampung yang menyokong penyembelihan ISIS itu,  adakah juga dilatih Amerika sebagaimana dakwaan kita kepada Abu Bakar Al-Baghdadi?

  Natijahnya, ternyata apabila menasihati sesama manusia, kita seharusnya mengfokuskan kepada pembaikan nilai fitrah sebelum perkara-perkara khusus keagamaan. Bukanlah penulis mengatakan bahawa usaha pengislaman itu tidak perlu, namun komrad yang menggalas panji-panji Islam ini, terlebih dahulu hendaklah keislamannya bukan semata-mata pada nama kearaban dan bahasa ‘ana-enta’ nya.

Penutup

  Sejujurnya, dalam mana-mana penulisan sekalipun, bahagian yang paling sukar ditulis adalah penutupnya. Entah sudah terlepas tanggungjawab entah tidak, entah semakin terang atau semakin kelam. Apa-apapun, segala yang kurang ditambahkanlah, yang tawar dimaniskanlah. Apa yang terguris maka ubatilah dengan sangka baik dan kasih sayang.

  Sudah terlalu lama kita bermain kata, kadang sekadar mengherdik cela, kadang hanya bertopeng muka. Adapun soal dilema biah solehah ini, andai tanpa kejujuran maka tetaplah ia kekal begitu.
Ilham Mazalan

Rujukan
-The Communist Manifesto And Other Revolutionary Writings-Dover Publication
-Islam And Other Faith-Ismail Raji Al-Faruqi
-Western Muslim And The Future Of Islam-Tariq Ramadhan-
-Ibn Taymiyyah Essay On The heart-Dr Abu Ameenah Bilal Philips
-Mana-mana Wikipedia yang bersangkutan
-Edukasi.Kompasiana.com


 

  

No comments:

Post a Comment