PENDAHULUAN
Ilmu adalah sebuah hasil proses cerapan
indera yang lima terhadap alam, yang ditafsirkan ke atas indera akal lantas
dimanifestasi sebagai sebuah pengetahuan yang baru. Dengan perkembangan dunia
penulisan, indera penglihatan telah mengambil tempat sebagai sumber utama
perkembangan ilmu yang disampaikan dalam bentuk penulisan-penulisan kreatif,
kritis dan imaginatif. Dengan berwasilahkan buku-buku, jurnal , majalah dan
olahan aplikasi teknologi seperti penulisan berformat elektronik dan sebagainya,
peri-pentingnya proses membaca untuk meladeni tuntutan indera penglihatan usah
lah kita persoalkan.
KEPENTINGAN MEMBACA
Sejarah telah menjadi saksi bagaimana nilai
penghayatan terhadap penulisan menjadi kemuncak dalam keagungan sesebuah
tamadun. Dari timur ke barat, Masyarakat yang matang (self-contextualized
society) senantiasa sedar kepentingan pendokumentasian ilmu agar ianya dapat
terus dipanjangkan ke generasi mendatang. Kesedaran ini penulis sifatkan diatas
kepentingan proses thesis dan antithesis dalam sinthesis ilmu. Tidak dilupakan
hakikat bahawa tamadun yang sejahtera senantiasa bersifat mandir, iaitu
berupaya memperbaiki dirinya sendiri. Maka bertambah-tambah lagi kepentingan
bidang penulisan dan pembacaan sebagai adiwira intelektual sesebuah masyarakat.
Ismail Raji Al-Faruqi telah menganggap
bahana yang menimpa umat islam dewasa ini adalah sifat malas mencari ilmu
pengetahuan (malaise of the ummah).
Lantaran itu, bersama Syed Naquib Al-attas, filusuf Palestina ini telah
menggarap teori Islamisasi Ilmu yang
bertujuan merungkai konflik antara muslim progresif dan tradisionalis dalam
konteks penilitian ilmu. Segala usaha intelektual-intelektual agung ini amatlah
kita hargai kerana merenung kembali betapa miskinnya jiwa keilmuan masyarakat
islam dewasa ini.
BAGAIMANA MEMBACA BUKU?
Di awal artikel ini penulis berkisah tentang indera yang
lima, serta hubung-kait nya dengan indera akal. Disini akan penulis perincikan
apa itu yang digelar proses pembacaan dan keilmuan;
Dari awal, ternyata lebih bijaksana untuk
kita menilai dari aspek asal proses pembacaan itu sendiri. Apabila membuka
sesebuah buku, para pembaca harus-lah sedar terlebih dahulu mengenai prinsip
asas untuk tidak menerima atau membangkang sebarang penulisan yang dibaca. Seringkali
masyarakat kita terlalu bersifat binary.
Miskinnya adab dan etika menjadikan kita berjiwa mufti lantikan sendiri. Terus
setiap pembacaan kita ukur dengan nilai haram dan halal. Sikap gopoh dan judgmental ini akhirnya telah membawa
kepada stagnancy of knowledge.
Usai proses pembacaan. Kita bergerak pula ke
tingkatan seterusnya, iaitu berfikir. Jiwa yang luhur, tidak hanya melihat
kepada apa yang dibaca, malahan turut mencari punca sesebuah wacana itu
dilontarkan. Hal ini amat penting dalam usaha menghapus prasangka terhadap
penulis yang mengolah idea-idea yang dihadam. Untuk memantapkan proses ini,
keluasan pembacaan itu sendiri menjadi satu kemestian. Setelah melihat baik
buruk, dibanding-banding pula dengan disiplin ilmu yang luhur akan
benar-salahnya, maka barulah kita boleh menghukum. Itupun tidak semua! Adapun
hakikat keluasan ilmu dan kedaifan manusia itu harus disedari. Ada yang boleh
kita katakan benar, ada yang dianggap salah, dan terlalu banyak pula yang harus
kita katakan padanya;
‘Aku tidak
tahu’…
Maka setelah habis membaca dan berfikir
semampunya, maka sampailah saat di nilai ilmu tersebut bebas dari kepentingan
diri yang kadang kala hadir secara bawah sedar. Maka penulis coretkan pula
di-sini mengenai kepentingan berwacana.
Habermas telah menggarap teori wacana dengan
baik sekali. Teorinya yang menggabungkan empat aspek utama iaitu kejelasan (verstandlichkeit), kebenaran (warheit), ketepatan (richtigkeit) dan kejujuran (warhaftiget) ini bertujuan mencapai sebuah
kesahihan dakwaan yang utuh.
Jelas, benar, tepat, dan jujur. Elemen ini
bertitik tolak daripada usaha untuk melahirkan wacana yang ilmiah, produktif
dan berkesan. Dewasa ini, dengan kebangkitan gerakan intelektual dan
pembudayaan buku, maka masyarakat kita telah terjerat dalam krisis pseudo intelektual yang rumit.
Wacana-wacana dan diskusi dianjur tanpa garis panduan yang jelas, sehingga
menjadi sekadar pembaziran masa dan tenaga. Tidak pula ianya membawa apa-apa
kebaikan bahkan ada pula yang dieksploitasi oleh warga nista yang
berkepentingan.
Aspek lain yang tidak kurang pentingnya
termasuklah dari segi teknikal. Apa yang dibaca, siapa penulisnya, tarikh
publikasi dan lebenswelt (dimensi zaman) penulis hendaklah dititik beratkan.
MOMOKAN SESAT KEPADA PEMBACA
Adapun belakangan ini
timbul pula satu isu baru, iaitu takut sesat kerana membaca. Bercakap dari
sudut yang adil, ketakutan ini ada asasnya. Sekian lama masyarakat kita di
momokkan oleh segelintir warga nista yang mengeksploitasi malaise of the ummah ini. Sudah lah malas berfikir, di tambah pula
dengan ketakutan menjadi sesat, maka sempurnalah bersemi kebodohan masyarakat.
Tidaklah ada sesiapa yang beroleh untung melainkan sedikit sahaja oportunis
sahaya dunia material.
Namun apakah maksud sesat? Apakah sesat ini
bermakna menyimpang daripada kebenaran? Jika demikian tidakkah ini bermakna
kita semua adalah warga sesat yang sudah jauh dari syurga? Tidakkah dari sudut
khilaf keagamaan juga sudah terlalu banyak berbeza pendapat, maka adakah ini bermakna
syurga akan sunyi, kerana ummah sudah lari dari pendapat yang benar?
Di sini, ingin penulis nasihati agar kita
merenung kembali huraian Dr Yasir Qadhi apabila menyentuh isu hadis 72 (tujuh
puluh dua) golongan. Dan bagaimana beliau menghurai pula kata-kata IbnTaymiyyah
dalam hal ini, nescaya padanya akan mendapat kita kebaikan yang bukan sedikit.
Ternyata setiap daripada kita ingin akan
kebenaran. Namun apakah kebenaran mutlak, yang merentas zaman itu wujud? Apakah
benar dakwaan yang mengatakan bahawa hakikat kebenaran itu relatif dan berubah
mengikut apa yang diingini masyarakat? Apakah benar dakwaan orientalis, bahawa
prinsip essence of religion di dalam
islam itu tidak wujud, bahwa islam sendiri tidak menggariskan benar salah,
melainkan ditentukan oleh lebenswelt umatnya yang mandir sendiri seperti
tohmahan Wilfred C.Smith yang dikritik teruk oleh Ismail Raji Al-Faruqi?
Pada pendapat penulis mana-mana insan yang
bertuhan, maka perlu dia percaya akan kewujudan kebenaran mutlak. Hal ini
kerana kebenaran relatif berkisar daripadaperbezaan dan relativiti situasi
seseorang. Manakala Tuhan itu sendiri, bersifat agung dan maha melihat,
sehingga boleh baginda lihat segala jaringan peristiwa dan dimensi. Maka ya,
Kebenaran mutlak itu wujud!
Maka beralih pula kepada bahagian seterusnya,
adakah manusia boleh mencapai kebenaran mutlak? Isu ini telah menjadi
kontroversi kerana kurangnya perincian tentang aspek ini. Bagi penulis lebih
baik kita terlebih dahulu membezakan antara kalimat mencapai, dan kalimat mengishtiharkan.
Andai kita tiba di persimpangan, dilemma
dalam memilih jalan yang kiri atau kanan, maka sudah tentu tuhan yang maha esa
tahu akan pilihan mana yang benar. Ini sekaligus bermakna, berfikir secara
merentas dimensi fizik dan metafizik, kebenaran mutlak itu wujud. Namun adakah
manusia itu dapat menggapai kebenaran mutlak? Andai pilihannya sama dengan
kebenaran di sisi tuhan, maka sudah tentu boleh. Maka kita bergerak ke arah
mengishtihar kebenaran itu.
Maka di sini
masalahnya terjelas, hakikat bahawa kebenaran mutlak itu wujud, membolehkan
manusia menggapainya. Namun pada masa yang sama manusia itu sifatnya daif, maka
dia tidak mampu melihat seluruh jaringan relativiti sebagaimana dilhat tuhan.
Maka dengan ini penulis rumuskan bahawa wujud kebenaran yang merentasi zaman
dan masa mutlaknya, manusia mampu menjapai kebenaran ini, namun dia tidak
berhak untuk mengishtiharkan ianya mutlak melainkan apa yang telah jelas
diceritakan oleh tuhan melalui Al-Quran dan Hadis.
Berbalik kepada soal sesat atau tidak, maka ternyatalah
bahwa selagimana apa yang kita pegang itu tidak bercanggah dengan apa yang
telah sepakat tanpa sebarang khilaf oleh sekalian para ulama, iaitu sekadar
melibatkan dimensi yang ijtihadiyyah dan mutaghayyirat, maka soal tersesat
jalan ini menjadi nombor dua. Maka apakah yang menjadi lebih utama dalam hal
ini? Jawapannya adalah hati yang ikhlas dalam mencari kebenaran. Andai benar wujud seorang manusia yang
pegangannya persis, ibarat cerminan kepada Rasul Muhammad, namun andai hatinya
tidak ikhlas, maka menjadi bara api neraka juga akhirnya.
SALAH FAHAM TERHADAP ETIMOLOGI
FALSAFAH
Baru-baru ini juga, penulis mendegar
suara-suara yang menentang pembacaan bahan bacaan yang berunsur falsafah. Maka
terkesima penulis sendirian, cuba
memahami kerunsingan ini. Ada sebahagian pihak menggap ungkapan ini
sebagai semboyan perang untuk bertindak melempiaskan amarah terhadap golongan
tradisionalis, yang pada mereka terlalu jumud. Bagaimanapun, penulis lebih
terarah untuk merungkai isu ini, berbanding pendekatan deskriptif yang entah
benar-entah tidak.
Perkataan falsafah, seringkali dirujuk oleh
sebahagian’ intelektual muda’ sebagai berasal daripada perkataan al-falsafah
daripada bahasa Arab. Namun asal sebenar perkataan ini dipercayai awalnya dari
kalimat Greek purba ‘philosphia’ yang bermakna kecintaan kepada ilmu dan
hikmah. Secara umumnya, perkataan falsafah merujuk kepada pengetahuan esensi
yang paling asas dalam sesebuah bidang.
Terdapat
perbezaan yang ketara antara ‘philosophical
approach’ dan ‘ technical approach’
dalam penilaian kritis sesebuah ilmu. Sebagai contoh, dalam skop bidang
pendidikan, andai kita menyentuh sesuatu isu dengan mengambil pendekatan
falsafah, maka kita mungkin akan dibawa kepada argument essensi seperti
“matlamat sebenar sistem pendidikan itu apa?” atau “apakah darjat sosial
sebenar seorang yang terpelajar?”. Manakala andai dirujuk dari skop teknikal
kita mungkin akan bersoal tentang gaji seorang guru, bilangan pelajar yang
efisyen di dalam sebuah kelas dan sebagainya. Jelas akan perbezaan dua unsur
yang ketara bezanya ini amatlah membantu dalam menarik benang yang tersimpul
rumit yang akhirnya menjerat kaki ummat sehingga statik tidak bergerak.
Melihat
kembali sejarah islam di Andalus, bagaimana tingginya perhargaan mereka kepada bidang falsafah sehingga memberi gelaran
kepada Aristotle sebagai ‘ muallim
al-awwal’ kerana sumbangannya kepada proses logik dalam mencapai kebenaran.
Walau bagaimana pun, tidak ada sebarang sumber keilmuan yang berhak disihtihar
benar tanpa dinilai melalui Quran dan
Sunnah sebagaimana yang telah disebut tadi. Namun, untuk menolak seratus
peratus sesuatu kejayaan itu sendiri bukanlah sesuatu yang bijak. Kepentingan
terhadap universaliti hikmah dan ilmu itu penting dalam sebuah masyarakat yang
belajar melalui mimesis antara satu sama lain.
Untuk memudahkah pemahaman, penulis
berkecenderungan untuk membahagikan bidang falsafah kepada tiga juzuk utama.
Pembahagian ini hanyalah semata untuk menambah lagi reifikasi dan
pengkatogorian yang sedia ada dalam bidang ini.
Juzuk pertama di dalam pembahagian penulis
adalah juzuk falsafah fizikal umum.
Adapun yang terkandung di dalamnya adalah segenap ilmu-ilmu duniawi daripada
pendidikan, ekonomi, ketenteraan, politik dan sebagainya. Tokoh-tokoh yang popular dalam bidang
falsafah fizikal umum ini termasuklah Habermas dalam bidang rasio-komunikatif,
Machiavelli dalam bidang sains politik, dan Tsun Zhu dalam bidang falsafah
ketenteraan (yang akhirnya dimanipulasi untuk menjadi bernas dalam etika
perniagaan). Tidak dilupakan De Bono yang mengajar tentang falsafah berfikir
moden serta termasuklah Marx dan Adam Smith, yang menghasilkan falsafah ekonomi
yang kita gelarkan sebagai Sosialisme dan Kapitalisme
Nasihat penulis kepada sekalian komrad
muslimin, bidang-bidang ini hendaklah dikaji dan dikongsi bersama kerana
kesannya yang besar dalam mempengaruhi perkembangan tamadun masyarakat zaman
ini. Hapuskan prasangka dan tohmahan serta huraikan secara adil dan saksama
tanpa berlaku zalim kepada sesiapa. Sesungguhnya mencari ilmu itu ibarat
mengutip permata di celahan kaca, hanya jauhari mengenal manikam, dan jauhari tidak akan meninggalkan
manikam-manikam sopek terbiar di celahan kaca melainkan dikutipnya lantas
dibaiki mana yang kurang. Yang mana yang
pecah dan kusam itu, sempurnakanlah
dengan iman dan islam.
Dalam juzuk yang kedua pula, penulis
namakannya sebagai falsafah fizikal keagamaan. Adapun ianya bersangkut paut
mengenai essensi agama yang yang melibatkan dunia fizikal yang boleh dicerap
inderawi. Persoalan yang terkandung dalam falsafah ini termasuklah mengenai
fungsi agama sebagai pembebasan, seperti yang ditulis Ali Syariati,
universality nilai dan agama sebagaimana dimaknakan oleh Al-Faruqi serta ramai
lagi filusuf-filusuf islam lain seperti Tariq Ramadhan, Al Banna, Muhammad
Abduh, Leopold Weiss (Muhammad Assad) dan sebagainya.
Adapun dalam Juzuk kedua, ianya melibatkan
pembabitan keilmuan yang luas dalam bidang agama, maka barangsiapa yang
memiliki kemahiran keatasnya hendaklah dia berusaha gigih semampunya. Juzuk ini
bukanlah sesuatu yang boleh diceburi oleh mana-mana orang awam tanpa persediaan
yang rapi, namun tidaklah sehingga bermakna ianya haram dibaca.
Juzuk yang ketiga, iaitu yang terakhir, ialah
apa-apa yang melibatkan alam ghaib seperti kiamat, syurga dan neraka, malaikat
dan sebagainya. Juzuk yang penulis namakan sebagai Juzuk falsafah metafizikal
keagamaan ini, pada pendapat peribadi penulis, hendaklah dijauhi melainkan apa
yang terkandung di dalam Al-quran dan As-sunnah sahaja. Hal ini adalah kerana
dunia metafizik adalah bebas daripada sebarang konsep logik dan prinsipnya.
Pembahagiannya yang jelas dalam etimologi dan
pengkategorian falsafah amatlah penting dek melihat terlalu ramai yang beremosi
dan prejudis terhadapnya. Adapun sebagai khatimah pembahagian ini, dapatlah
dilambangkan tiga juzuk ini sebagai tiga lampu isyarat. Iaitu falsafah fizikal
umum sebagai hijau, fizikal keagamaan sebagai kuning, dan falsafah metafizikal
keagamaan sebagai merah. Sungguh ironi bilamana seorang yang melarang manusia
berfalsafah dalam zon hijau atas alasan ianya berasal dari barat, namun pada
masa yang sama petah berfalsafah tentang zon merah yang kadangkala sehingga
mencipta perkara yang tidak disebut di dalam Al-quran dan Hadis.
ISLAMISASI ILMU
Istilah
ini pada asalnya dirumus oleh Syed Naquib Al-Attas, seorang filusuf islam yang
menjadi idola kepada Syeikh Hamza Yusuf. Turut berkongsi pandangannya
termasuklah Ismail Raji Al-Faruqi dalam mencari solusi ‘malaise of the ummah’ yang penulis coretkan di awal tadi.
Al-Faruqi memandang serius fenomena limpahan kebajiran
ideologi-ideologi dari barat kerana runsing ianya akan melanggar etika
keislaman serta tidak selari dengan ekologi dan reality sosial masyarakat
islam. Namun insaf akan kelemahan intelektual muslim dewasa ini, maka sebuah
jalan keluar harus dicari. Tidak ada gunanya berkeluh kesah tanpa maju
kehadapan, Maka gagasan islamisasi ilmu mula dijulang oleh tokoh-tokoh
intelektual ini.
Sekiranya kita melihat kepada kelahiran idea
tersebut, kita akan mendapati ianya lebih kepada gerakan defensif. Namun
berbeza dengan pendekatan umum masyarakat yang tertewas, idea Islamisasi Ilmu
berupaya melancarkan serangan balas terhadap ideologi-ideologi dari barat.
Namun apakah yang dimaknakan sebagai islamisasi
ilmu? Secara mudahnya ianya merupakan sebuah penerimaan terhadap
falsafah-falsafah barat yang kemudiannya di nilai dari kaca mata islam untuk
dimanfaatkan. Adapun pada pendapat penulis, istilah yang lebih penulis sukai
ialah ‘penyempurnaan ilmu’ kerana mengenang sifat universaliti nilai falsafah
fizikal umum yang dikongsi setiap manusia.
Adapun apa
yang mahu di-islamkan atau di-sempurnakan ini, tidaklah sehingga menerima
falsafah metafizik barat. Satu garisan diskrit harus dicipta dalam usaha menjaga
keaslian agama islam.
Dalam usaha
penelitian bahan ilmiah untuk di-islamisasikan, maka terlebih dahulu wujud
kepentingan terhadap pemerhatian essensi sesebuah pegangan, maka baharulah kita
dapat bersikap adil. Tidak dapat tidak, pembacaan yang meluas dan menyeluruh
serta bebas dari prejudis hendaklah diwujudkan. Seringkali melanda masyarakat
kita hari ini, penolakan bulat-bulat terhadap ideologi barat telah menjadi
gejala malang yang merencatkan pergerakan ilmu. Ini tidak dikira lagi tohmahan
dan fitnah yang tidak berasas serta tiada nilai keilmuan. Kesannya tidaklah
dapat di-ambil apa yang bermanfaat lalu tinggallah kita tidak bergerak,
ditindas, dizalimi diri sendiri.
Namun idea islamisasi ilmu ini sendiri tidak
sunyi daripada kritikan. Ada yang mengkritik dari sudut linguistik dan ada yang
mengatakan ianya gerakan terdesak ahli falsafah islam untuk membuktikan islam
sebagai agama yang syumul. Apabila penulis berbicara tentang idea ini dengan
seorang sahabat, maka ditimbulkan soal mengapa harus bernama islamisasi?
Sedangkan tidakkah islam itu mencakupi segala ilmu yang ada di alam ini?
Sejujurnya penulis bersetuju dengan kenyataan
sahabat tersebut, dan kerana memandangkan ianya bersifat linguistik, maka
penulis memutuskan untuk memilih istilah ‘penyempurnaan ilmu’ apabila membawa
gagasan ini dalam kalangan masyarakat islam.
Wujud sebuah lagi gerakan yang tidak kurang
hebatnya dalam menghadapi serangan ideologi-ideologi dari barat ini. Gerakan
ini berhasrat membongkar kembali turath-turath lama dengan harapan mentajdid
kembali pemikiran ummat islam. Secara peribadi penulis lebih bersama ideologi
Al-Attas dan Al-Faruqi kerana berpendapat ianya lebih efisyen dari sudut masa
dan lebih bermanfaat dalam menghadapi millennia baru ini. Tidak dilupakan
kerana mengenang ribuan turath yang di campak ke Sungai Tigris oleh makhluk
gasar Monggol sewaktu peristiwa terbakarnya Kota Baghdad.
Dipihak mana pun kita
berdiri, sama ada menyokong gerakan Al-Attas atau bersama dengan gerakan
pembongkaran turath, hendaklah kita bergerak bersama membina kubu ummah ini.
Sesungguhnya kita berada di zaman ghazwatul fikir, sebarang perkelahian yang
tidak perlu hendaklah di elakkan.
Dan ya, tidak kira dipihak mana kita berada,
andai ummah masih malas dan takut membaca, nescaya akan runtuh dan hancur
satu-satunya agama yang diredhai Allah S.W.T ini. Janganlah tangan kita sendiri
menghancurkannya kerana ego dan taksub kepada mana-mana doktrin baik daripada
jemaah mana sekalipun
PENUTUP
Adapun soal mulianya ilmu itu sudahlah terang
keatas kita, janganlah kelam nurani menghapus limpahan cahaya. Sedangkan lidah
lagi tergigit, sedangkan perahu lajaknya berundur tidak. Maka andai ada
silap-salah maafkanlah, andai ada terguris di hati maka datanglah kita ubati
bersama.
Wallahualam…
Ilham
Mazalan
Rujukan;
-Esei-Esei Pencerahan Jalan Telawi.Com
-Pengenalan Tamadun Islam Andalus-Azizan Baharudin
-The Prince-Niccolo Machiavelli
-Religion Vs Religion-Ali Syariati
-Think Before Its Too Late-Edward De bono
-The Art Of War-Sun Tzu
-Islam And Other faith-Ismail Raji Al-Faruqi
Casino (2021) - Drmcd
ReplyDeleteWe 평택 출장안마 have a very good choice of slot games such as video 경상북도 출장마사지 poker, blackjack, 밀양 출장샵 and Roulette games, we have over 60+ 계룡 출장안마 games. As a result, our 세종특별자치 출장샵