Thursday, May 28, 2015
EKONOMI DAN NILAI SOSIAL
Dengan nama Tuhan, yang bersifat dengan kemuliaanNya
Dalam epoch millennia ini, pertikaian-pertikaian antara sesama masyarakat baik logikal mahupun sinikal berkaitan isu-isu ekonomi negara, dari selebar erti kata ekonomi, hingga ke runcing GST( Goods and Service Tax), merentas kepada jatuh naik matawang Negara lalu melintas pulang kepada kos sara hidup rakyat, bolehlah kita katakan bahawa isu-isu berkenaan ekonomi amat rapat dengan hati dan jiwa sekalian warga negara kita.
Namun lantaran apakah sekalian warga begitu bangga berbicara tentang nilaian angka? Sebagaimana rusa juga kekok dan ganjil kala tiba di kota, kerana besarnya bukan di situ. Ternyata nilai wacana yang bernas tentang runcing dan rumit ekonomi tidaklah mampu penulis bicarakan di sini. Biarlah menjadi seperti serindit yang berkicau daripada kakak tua yang petah mengulang jargon-jargon politikus hampas.
Serindit berkicau dari hati, tidak perlu diajar. Hati pula terikat dengan fitrah yang luhur, dan fitrah manusia berkehendakkan hidup bermasyarakat(sosial). Masyarakat melahirkan nilai, dan masa bersulam etika menentukan norma.
Ekonomi dan Nilai Sosial
Peri pentingnya ekonomi dalam pembinaan negara bukanlah sesuatu yang perlu diungkap kembali. Penulis yakin seluruh warga, seandainya tidak insaf sekalipun, sedar akan perkara ini. Adapun tentang nilai sosial yang senantiasa lahir daripada personaliti budiman yang hidup bersama, penulis juga tidak melihat kepentingan memberi definisi sempit, kerana merenung kembali sekalian isu-isu yang berkisar tentangnya kebelakangan ini.
Dalam pembinaan tamadun, wujud kepentingan terhadap penciptaan personality warga matang yang renaissance (polymath), bahkan seorang manusia super, atau Übermensch, memetik istilah Friedrich Nietzsche. Penciptaan personaliti ini dalam jiwa warga akan mencetus ledakan nilai-nilai positif dalam masyarakat, apatah lagi andai dipandu kod-kod tatasusila agama yang benar, seperti yang dikandung agama Islam. Personaliti ini akan menjadi pendorong langsung pembinaan nilai `temporal’ dan `celestial’ tamadun.
Bagaimana menggapai personaliti ini?
Perut yang lapar jarang sekali melahirkan para revolusioner. Menjadi pemogok jalanan mungkin, atau pahlawan medan sosial. Namun buku-buku tidak semuanya percuma, tambang ke majlis diskusi tidak boleh dibayar dengan daun. Ternyata mereka yang proletariat jarang benar dilihat menjadi benih self contextualization masyarakat dan kalau buku hidup ini dibelek kembali, ternyata anak-anak kasta bourgeois (sama ada warisan, usahawan atau pemberian) lebih ramai mengubah nasib negara. Oleh itu, penulis memohon serendah hati agar kita memandang serius kepentingan nilai ekonomi dalam membentuk personaliti matang yang akan membawa kegemilangan tamadun dengan salah satunya, memangkin nilai-nilai sosial masyarakat yang luhur.
Ekonomi, Pendidikan dan Gadis Belanda
Kecintaan kepada nilai ilmu adalah sifat mulia yang wujud dalam semua nilai sosial masyarakat yang membangun. Merenung kembali sejarah bumi Andalus, penulis memerhatikan bagaimana seolah-olah kasta beralas harta dan material, seolah-olah diganti oleh nilai ilmu dan hikmah masyarakat, sehingga boleh dikatakan mereka yang paling mulia adalah yang paling banyak bukunya (yang dibaca, bukan disimpan di dalam lemari kaca)
Bagaimana pula ekonomi memangkin nilai ini? Penulis teringat sewaktu di atas kapal terbang dari Istanbul ke iskandariah, sempat berbual dengan seorang gadis Belanda. Namanya tidak sempat ditanya (atau mungkin lupa). Gadis ini mengatakan dia ke mesir untuk belajar tentang comparative religion. Apabila ditanya kepadanya tentang prospek kerjaya bidang ini di Belanda, dia hanya tersenyum dan mengatakan dia tidak kisah andai tidak dapat kerja yang formal. Boleh saja dia menjadi seorang `philanthropist’ atau `freelance writer’ katanya. Mendengar balas katanya, segera penulisan tanyakan tentang sistem kebajikan di negaranya. Apabila gadis ini mengkhabarkan bahawa tidak ada yang dibenarkan miskin tanpa bantuan yang cemerlang di sana, penulis hanya tersenyum dan mengangguk kepala. Seketika kemudian perbualan kami ditamatkan kerana penulis seorang yang menjaga ikhtilat.
Dalam mahakarya Zulfikri Zamir (pengiktirafan peribadi penulis), dalam karyanya Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang penulis mengajak kita mengenal jiwa raga kalimat “kilang”. Sebuah kilang adalah tempat produksi sesebuah komoditi. Kebanyakan pekerja kilang tidak mempedulikan nilai sebenar apa yang diproduksi, asal gaji mereka dibayar, anak dirumah disusukan sudah dianggap memadai. Demikian juga dilema yang melanda siswa-siswi kita hari ini. Kadang-kala mereka mengambil bidang yang tidak ada passion bagi mereka. Adapun bidang yang mereka benar-benar minat tidak mampu diambil kerena barangkali tidak ada peluang pekerjaan, atau tidak mampu membayar kos pengajian. Andai kata kita hidup dalam keadaan ekonomi yang bersifat stable and surplus sudah tentu anak-anak ini mampu mengikut suara hati mereka, lantas memancarkan tenaga potensi sebenar yang terkandung dalam jiwa raga.
Ekonomi dan Struktur Keluarga
Meskipun penulis tidak bersetuju dangan metodologi yang digaris oleh Marxist dan Sosialis, penulis amat cenderung dengan nilai masyarakat yang dituju mereka. Apatah lagi merenung perspektif kapitalis yang memandang nilai-nilai ini sebagai semata-mata surplus kepada keuntungan perusahaan yang boleh wujud atau tidak sahaja.
Penulis menentang sekeras-kerasnya sebuah sistem ekonomi yang tidak membenarkan seorang ayah bermain bersama anak-anaknya di hari minggu, semata-mata kerana terpaksa bekerja lebih masa bagi menampung belanja percutian keluarga yang datang dua kali setahun. Demikian juga penulis menentang sistem yang membenarkan si bapa kerap bermalasan di rumah sehingga merencat pertumbuhan ekonomi negara. Alangkah indah andai dapat diadun serta dicerap dua blok pemikiran ekonomi ini kepada bumi Malaysia, iaitu sebuah sistem ekonomi yang dapat membawa suasana baitul muslim yang bahagia, di samping memangkin sebuah negara madani.
Melihat hubungan yang lebih terang antara dua pemboleh ubah ini, sering penulis perhatikan bagaimana sebuah keluarga berantakan kerana sistem ekonomi. Masa yang tidak diluang ibu bapa bersama anak-anak memangkin berleluasanya ‘generasi Instagram’( terminologi peribadi penulis merujuk kepada kutu rayau kurang kasih sayang yang sering mengekspresikan diri mereka di platform instagram).
‘Generasi Instagram’ ini, yang secara umumnya lahir daripada kelemahan sistem ekonomi bolehlah pula kita juzukkan kepada beberapa faktor diskrit;
Yang pertama, kesibukan ibu-bapa yang terpaksa berkerjaya dalam suasana tidak mesra keluarga. Dalam sebuah sistem ekonomi yang mementingkan nilai temporal semata, seringkali manusia di hilangkan kemanusiannya untuk mencapai Key Performance Indicator(KPI) .Ibu-bapa dijadikan alat syarikat-syarikat besar untuk mencapai target peribadi mereka. Masa mereka bersama keluarga dituntut dan dikerah, dan diganti dengan bayaran material. Dalam pandangan yang lebih mudah, syarikat-syarikat ini membeli hayat manusia dengan bayaran material!
Yang kedua, melihat dari sudut lain peranan ekonomi dalam struktur keluarga, sistem kasta harta telah meningkatkan nilai konsumerisme masyarakat. Secara umum, pandangan golongan bourgeoisie bahawa mereka adalah tuan dalam ekonomi, telah mewujudkan sistem pengiklanan yang melampau. Anak-anak seolah-olah tidak tahu lagi apa yang mereka sendiri mahukan dek kerana raksasa konsumerisme yang telah mendikte mereka secara bawah sedar.
Gabungan dari dua faktor ini, iaitu kurangnya masa bersama anak-anak dan konsumerisme yang memuncak, telah memusnahkan struktur asas masyarakat iaitu baitul muslim yang harmoni. Penulis memerhatikan bagaimana anak-anak yang kurang kasih sayang dan masa daripada ibu-bapa mereka, meskipun apabila diberi peluang bercuti bersama, atau sekadar makan bersama keluarga, lebih leka bermain gajet pintar masing-masing. Nilai-nilai kekeluargaan yang lebih indah, tentang kasih sayang, toleransi dan kebersamaan yang hilang, akhirnya meruntuhkan sistem sesebuah keluarga.
Ekonomi dan Keselamatan Masyarakat
Menjadi sebuah nilai dan hak asasi masyarakat untuk hidup secara aman dan tenteram sebagaimana digaris oleh Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu 1994 dan antara faktor penyumbang kepada jati diri yang menghormati darah, hak dan maruah orang lain termasuklah ekonomi yang baik (di samping pendidikan, kod tatasusila, kesimbangan rohani dsb)
Manusia yang miskin secara materialnya, seringkali mejadi manusia yang lemah, apatah lagi kita hidup di dalam masyarakat kasta harta. Seringkali juga mereka yang lemah menjadi mereka yang tidak merdeka, lantaran itu terpaksa mereka menafikan suara fitrah hati yang tulus, untuk melakukan apa yang baik, dan menentang apa yang batil.
Ada yang miskin menjadi pencuri dan perompak, lantas keselamatan sosial terganggu. Mungkin lebih mudah untuk membenci mereka, namun penulis menggesa untuk kita menilai kembali, andai kita di tempat mereka, mampukah kita berbeza?
Di samping menyentuh tentang aspek kuantiti kapital masyarakat, penulis juga mengingatkan untuk merenung aspek kualiti sistem ekonomi. Secara umum, penulis tidak begitu berminat dengan sistem ekonomi yang meluaskan jurang antara mereka yang kaya dan miskin. Memang benar asasnya kita perlu berusaha untuk menjadi kaya raya, namun itu tidaklah memberikan kita hak untuk tindakan monopoli dan oligopoli ekonomi yang menutup pintu rezeki orang lain. Tidakkah harta material di dunia ini hakikatnya milik tuhan?
Penulis meletakkan tajuk polarisasi harta dibawah aspek keselamatan masyarakat kerana mengenang kembali sejarah-sejarah berdarah revolusi, dari revolusi Perancis, Rusia sehinggalah zaman kini, rata-rata nya berkisar kerana perasaan tidak puas hati golongan tertindas, dan kerakusan golongan penindas. Apatah lagi apabila kezaliman ini disakralkan di atas nama agama (agama opresi, sebagaimana dimaknakan oleh Ali Syariati sewaktu ucapannya di Husayniyyah Centre, Tehran pada 1970)
Kemiskinan merencat maruah diri, manakala pengsakralannya menjatuhkan imej agama. Nah!, kini kita telah mencipta sebuah masyarakat tidak bermaruah, bahkan menolak agama kerana hilang kepercayaan dek kerana agamawan derhaka kepada tuhannya. Tidak menghairankan bagaimana pada saat gemilangnya kapitalisma dan kemelaratan kelas miskin, Karl Marx timbul dengan idea ‘agama sebagai candu masyarakat’.
Ternyata jika kita membaca karya-karya Marx, apa yang diertikan di sini adalah adalah agama opresi, dan saya percaya Islam dalam makna dan pemahaman yang lurus, tidak bersifat opresi malahan, jika merenung kata-kata Rib’i bin ‘Amir:
“Allah telah mengutus kami untuk mengeluarkan siapa saja yang Dia kehendaki dari penghambaan terhadap sesama hamba kepada penghambaan kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Al-Islam. Maka Dia mengutus kami dengan agama-Nya untuk kami seru mereka kepadanya. Maka barangsiapa yang menerima hal tersebut, kami akan menerimanya dan pulang meninggalkannya. Tetapi barangsiapa yang enggan, kami akan memeranginya selama-lamanya hingga kami berhasil memperoleh apa yang dijanjikan Allah”
Ternyata apa yang kita dapati di sini, adalah Islam merupakan sebuah agama pembebasan, iaitu sebuah agama revolusi daripada penindasan masyarakat yang haloba dan mementingkan diri.
Penutup
Aspek ekonomi sebagai pemanipulasi terhadap nilai sosial masyarakat ternyata amat penting. Kesannya amatlah kritikal dan meluas sehingga tidak sempat saya tuliskan di sini. Sukacita saya maklumkan bahawa Alhamdulillah kesedaran terhadap aspek ini semakin bertunas. Namun saya juga berdukacita mengenang masih ada daripada kalangan belia kita, yang mengimpikan kegemilangan kembali dunia islam, masih memandang perkara ini dari sudut yang begitu prejudis.
Pesanan kepada remaja-remaja islam, perjuangan kita bukanlah semata-mata hendak memahkotakan islam sebagai penaung umat manusia, kita juga harus merancang dari sekarang, andai suatu hari kita menang, bagaimanakah mahu kita kekalkan satu-satunya agama yang diredhai tuhan ini di atas tahtanya melainkan dengan hikmah yang terbit daripada akar-akar ilmu, yang membawa kepada penilaian kritis dan diskriptif, seta perancangan kreatif yang mampu melihat kehadapan.
Wallahualam (Dan Allah lebih mengetahui)
Rujukan;
-Esei-Esei Pencerahan Jalan Telawi.Com
-Thus Spoke Zarathusra- Friedrich Nietzsche
-Pengenalan Tamadun Islam Andalus-Azizan Baharudin
-The Prince-Niccolo Machiavelli
-The Communist Manifesto And Other Revolutionary Writings-Dover Publication Inc
-Religion Vs Religion-Ali Syariati
-Sekolah Bukan Penjara Universiti Bukan Kilang-Zulkifli Zamir
-Think Before Its Too Late-Edward De bono
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment