Thursday, May 28, 2015

HATI YANG RESAH


  Bismillahirrahmanirrahim

  Dugaan dan rintangan merupakan perkara yang tidak mungkin dapat dieakkan dalam hidup seorang yang bergelar insan. Setiap saat manusia itu diuji dengan segala macam ujian. Baik kecil mahupun besar. Dan dugaan ini lazimnya menimbulkan keresahan hati,kecelaruan jiwa, dan terputusnya pengharapan.

  Seringkali insan yang merasa dirinya tewas itu merasakan dia sudah lelah mengharapkan hadirnya cahaya yang mampu menyinari kelam harinya. Segala ujian dirasakan bagai ditanggung berseoragan, meskipun hakikatnya Allah itu dekat dan sentiasa ada. Insan itu lazimnya sudah serik mencuba, dan dia merelakan hakikat kehidupannya yang menyedihkan itu berpanjangan,kerana baginya mustahil untuk dia keluar dari kepompong kemelaratan tersebut.

   Ada pelbagai sebab mengapa insan menjadi demikian. Antaranya adalah kerana dia terlalu sedih, sehinggakan dia melihat masalahnya itu adalah kehidupannya. Dia terlupa akan hakikat betapa kecilnya kedukaan duniawi jika dilihat dari kacamata akhirat. Sesungguhnya setiap ketentuan Allah jalla wa ala itu akan berlaku, dan ia juga pasti akan berlalu. Setiap dugaan, yang ditakdirkanNya, tidak ada apa yang dapat menghalangnya daripada menimpa seorang insan, sesuai dengan kemampuannya menanggung dugaan tersebut. Kerana Allah tidak menguji hambanya melainkan dengan apa yang mereka mampu. Dan sebagaimana ujian-ujian sebelumnya,ujian itu pasti akan berlalu! Sekadar menjadi suatu memori dalam kehidupan insan. Menjadi iktibar dan pengajaran dalam kehidupan seorang hamba mencari keredhaan tuannya.

   Seperkara lagi ialah kerana ramai tersalah anggap tentang hakikat penderitaan. Mereka sedar bahawa setiap penderitaan itu adalah perjuangan. Perjuangan untuk mengatasinya, lantas keluar dari kepompong kesengsaraan. Namun ramai yang tidak sedar bahawa tidaklah setiap perjuangan itu, pasti berakhir dengan kemenangan duniawi.                                                                                                            
  Berapa ramai nabi nabi yang diutuskan Allah diuji dengan perlbagai penderitaan. Dan bukan semuanya diberi kejayaan segera di dunia. Ada antaranya yang disiksa, bahkan ada yang dibunuh hatta dibakar. Kemenangan hakiki bagi para anbia ini adalah syahid menegakkan aqidah yang benar.
                                                     
  Begitulah jua perjuangan manusia menghadapi derita. Ingatlah, hakikatnya yang dicari dalam perjuangan ini bukanlah kemenangan, seperti kekayaan selepas kemiskinan, kesihatan selepas kesakitan, atau pengembalian selepas kehilangan. Apa yang dicari dalam segenap perjuangan bukanlah matlamat, tetapi untuk mengutip pahala yang dijanjikan Allah. Kesabaran menghadapi derita, keredhaan terhadap takdirNya, pengharapan kepadaNya serta tidak sesekali berputus asa dengan rahmatNya.

   Tiada guna kita dilepaskan daripada sebuah penderitaan, seandainya tatkala diuji kita berputus asa dengan nikmatnya, bersangka buruk kepada Allah, serta membenci takdir dan aturanNya, sedangkan Allah adalah sebaik baik pengatur. Pelepasan kita daripada derita itu, tidak akan mendekatkan diri kita kepada Allah, bahkan mungkin akan menjadikan kita bertambah lalai dalam mensyukuri nikmatnya.

  Seringkali insan gagal dalam memahami aturan Allah SWT. Seringkali mereka menyangka  bahawa sesuatu perkara itu adalah sebuah kebetulan.

 Kata Sayyid Qutb Rahimahullah, sekiranya manusia meneliti setiap kejadian, maka mereka akan mendapati tiada satupun antaranya yang berlaku dengan kebetulan, melainkan ditentukan Allah semata.

 Dalam hidup ini, kita ditemukan dengan seseorang, dianugerahkan suatu nikmat, dan sudah tentunya ditimpakan suatu musibah dan ujian. Saksikanlah bahawa semua ini adalah aturanNya, memiliki rahsia dan sebabnya yang tersendiri. Sesungguhnya kita berserah kepada Allah untuk menentukan aturan itu. Allah lah yang  mencipta manusia, Dia lah yang paling tahu tentang makhluknya. Ditimpakannya musibah sesuai dengan keupayaan seseorang insan menanggungnya, agar kita dapat mengambil teladan daripadanya. Serta agar kita mendapat pahala kerana menjadi antara orang-orang yang sabar.

   Dan ingatlah, bahawa nisbah hayat insan di dunia ini, hatta seandainya kita hidup seribu tahun sekalipun, namun jika dibandingkan dengan nisbah kehidupan akhirat yang abadi, amatlah kecil dan tidak bermakna. Maka carilah dalam segenap nikmat dunia ini habuan akhirat. Bahkan penderitaan mu itu, anggaplah ia suatu nikmat keatasmu. Carilah di dalamnya ganjaran ganjaran baik, serta balasan pahala. Iaitu dngan sabar menghadapinya, mengambil iktibar darinya, serta merapatkan hubungan mu dengan Allah Jalla Waala.

No comments:

Post a Comment