Thursday, May 28, 2015

MANUSIA DAN DERITA


  Betapa misteri bagaimana Allah mengatur kehidupan manusia! Tidak berlalu walau seharipun dalam kehidupan manusia melainkan diwarnakanNya dengan segala macam nikmat dan dugaan. Dan dengan setiap hari yang berlalu dengan segala cubaan dariNya, baik kebaikan atau musibah, bertambah kenal manusia itu kepada tuhannya!

  Segala ujian itu datangnya daripada Allah, dan dialah sebaik-baik pengatur. Allah mengatur setiap ujian yang menimpa hambanya sarat dengan pengajaran. Setiap musibah yang melanda merupakan refleksi kepada manusia, agar manusia itu boleh menilai kembali baik buruk amalannya, segala nikmat yang telah dikecapinya, serta betapa agungnya Allah yang mampu menarik kembali nikmat itu dalam sekelip mata..

  Bersangka baik terhadap Allah tatkala ditimpa musibah merupakan suatu amal baik. Bahkan, teruslah percaya kepada rahmat Allah, kerana hanya dia yang mampu mengeluarkan manusia daripada sesuatu masalah, sesuatu kerumitan yang terasa begitu berat untuk ditanggung.

  Namun hakikatnya setiap amal itu ada waktu kuat dan waktu lemahnya. Perkara ini dinyatakan sendiri melalui sebuah hadis:


عن ابن عمرو : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إن لكل عمل شرة و لكل شرة فترة فمن كان فترته إلى سنتي فقد اهتدى و من كانت إلى غير ذلك فقد هلك .

Daripada Abdullah bin ‘Amr bahawa Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan ada waktu shirrah (kuat keinginan dan bertenaga), dan setiap waktu shirrah ada waktu fatrah (lemah). Maka, sesiapa fatrahnya amalannya (menjurus) di dalam sunnahku, maka dia berada di atas petunjuk, dan sesiapa fatrahnya (menjurus) selain (sunnah) itu, maka dia akan binasa.”


 Ya, selaku hambaNya kita dituntut untuk sabar dalam menerima musibah, namun hakikatnya manusia itu makhluk yang dhoif. Kadangkala, tatkala dugaan yang melanda dirasakan sudah tidak mampu lagi ditanggung, kita mula mengeluh, menyalahkan takdir, bahkan kadangkala mempersoalkan apa dosa kita sehingga ditimpa musibah sebegini...


  Sesungguhnya setiap jiwa manusia itu berbeza. Perkara yang dekat dihati seorang manusia, barangkali hanya dipandang sebelah mata oleh manusia lain. Kerana itu janganlah kita mudah marah tatkala melihat seseorang itu mengeluh tatkala diuji Allah, kerana setiap manusia itu hatinya dekat kepada perkara yang berbeza-beza. Boleh jadi kita beranggapan musibah yang melandanya kecil sahaja, tetapi baginya musibah itu terlalu dekat dengannya, terlalu mengganggu jiwa dan meruntun hati.


  Terkadang kita bila diuji, kita merasakan kitalah sederita-sederita makhluk. Segala harapan dirasakan sudah tiada lagi. Seolah-olah lebih baik seandainya kita tidak pernah lahirpun ke dunia, dan nama kita tidak dikenal oleh seorang pun!


  Namun ingatlah, segala cubaan, ujian, musibah yang melanda ini hanyalah ujian Allah untuk mengenal makhluknya!


“Pada Hari Kiamat dibawa seorang penduduk dunia paling nikmat kehidupannya yang menjadi orang ahli neraka. Dia dicelup ke dalam neraka satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: “Wahai anak Adam, pernah engkau melihat kesenangan? Pernah engkau mendapat kenikmatan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!”.
Lalu dibawa seorang penduduk dunia yang paling derita kehidupannya yang menjadi ahli syurga. Dia dicelup ke dalam syurga dengan satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: “Wahai anak Adam, pernahkah engkau melihat penderitaan? Pernahkah engkau mengalami kesusahan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!. Aku tidak pernah melihat penderitaan. Aku tidak pernah mengalami kesusahan”. (Riwayat Muslim).

  Saksikanlah, bagaimana manusia yang paling derita di dalam dunia ini, entah apa deritanya sehingga dianggap penduduk dunia yang deritanya nombor satu! Barangkali seluruh keluarnga dibunuh, barangkali seluruh hartanya dirampas, barangkali hayatnya habis dengan siksaan manusia lain. Namun, hanya dengan sekali celup ke dalam syurga, dia telah berkata:


   “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!. Aku tidak pernah melihat penderitaan. Aku tidak pernah     mengalami kesusahan”


  Betapa kecilnya erti setiap azab, segenap ujian , dan segala musibah dunia apabila dilihat dari kacamata akhirat!

  Hidup manusia ini penuh dengan dugaan. Dan malangnya manusia itu sifatnya mudah lupa. Dia lupa, suatu ketika dahulu, Allah taala telah mengujinya dengan sesebuah ujian. Kala itu dia merasakan ujian itu terlalu berat. Dan dia merasa kesengsaraan yang terlalu dahsyat! Namun hari ini, dia langsung lupa kepada musibah yang ditimpakan kepadanya suatu ketika dahulu. Dia menjalani kehidupannya dengan gembira, langsung tidak terfikir tentang saat masa lampau tatkala mengalir air matanya menanggung derita yang amat itu. Tidurnya lena sekali, langsung dia lupa, suatu ketika dahulu setiap kali lelap matanya maka akan datang mimpi-mimpi ngeri yang menghatui hidupnya kerana musibah yang ditimpa Allah.

  Itulah hakikat manusia dan derita. Hari ini kita merasa sengsara, boleh jadi suatu masa akan datang derita ini hanya kita anggap setitik daripada lautan hitam kesengsaraan yang telah kita redah untuk mencari redha ilahi. Dan derita-derita inilah yang menghampirkan kita kepadaNya. Sabarlah, sabarlah, sabarlah menghadapi deritamu!


“Hendaklah kamu bersabar, sesungguhnya Allah itu bersama orang-orang yang sabar“ – Surah Al-Anfaal, ayat 46

No comments:

Post a Comment