Wednesday, September 16, 2015

MENILAI KEMBALI BIAH SOLEHAH


 Pendahuluan

 Seringkali sebuah ungkapan, apabila diungkapkan berkali-kali, seakan hilang makna asalnya. Seluas lautan biru jernih menjadi sesempit sungai nan keruh, gunung tinggi nian jadinya busut tempat semut berteduh. Lafaz cinta suci seorang lelaki kepada kekasihnya bahkan kadangkala turut menjadi langka ertinya andai diungkap sehari-hari seperti kakaktua di dalam sangkar.Dan demikian lah juga yang terjadi kepada ungkapan yang ingin penulis diskusikan pada kali ini.

   Entah bila berubah maknanya, ungkapan ‘biah solehah’ yang berasal daripada  Bahasa Arab ini, yang pada asalnya bermakna sebuah masyarakat ideal, boleh berubah menyentuh semata-mata soal pergaulan antara gadis dan teruna. Seolah-olah kesopanan muamalah semata mampu membina tamadun berguna.Seolah-olah Kerajaan Melayu lama yang dijajah itu miskin adab dan akhlaknya.

  Benar akhlak antara gadis dan teruna itu, lahirnya daripada jiwa matang yang beragenda, bukan daripada kemelaratan sahsiah binatang manusia miskin akhirat. Namun secupak tak akan menjadi segantang, andai tidak ditanam, dituai bersama.

  Maka di sini, sedaya penulis akan cuba dihuraikan rinci tentang kalimat Biah Solehah ini, dengan harapan dapatnya menerang kelam senja arus post-modernisma. Dengan harapan setiap benci dan amarah beralas pula dengan rindu dan mesra.


Definisi Biah Solehah
 Adapun kalimat ini, asalnya seperti yang dibicara di atas tadi, iaitu Bahasa ayahanda Rasul Muhammad, penghulu sekali alam. Dalam bahasa melayunya dapat diberikan makna sebagai sebuah iklim yang baik, yakni sebuah masyarakat ideal yang dibina daripada ikatan syariat Islam, satu-satunya agama yang diredha Allah yang kasih sayangnya kepada kita usahlah dipersoal lagi.

  Dan kita, seringkali ditimpa kesulitan dalam membahaskan perkara ini, kerana tafsiran berkenaan sebuah masyarakat islam seringkali membawa kepada keluasan dan kesyumulan agama itu sendiri. Makanya bolehlah kita berbeza pandangan dalam berhujah tentang apa itu masyarakat ideal menurut islam. Setiap pandangan haruslah dinilai melalui setiap lebenswelt pengutaranya, kerana ternyata putaran planet biru ini sedemikian laju, sehingga entah dalil mana yang boleh diaggap baru.

  Di sisi penulis sendiri, Sebuah Biah solehah ada perkaitan langsung dengan metodologi pembinaan sebuah tamadun matang. Hal ini demikian kerana keduanya berputar kepada functional unit yang sama iaitu manusia itu sendiri, baik secara individu mahupun secara kolektif.

  Pada pandangan penulis, sebuah biah soleh ialah sebuah komuniti manusia yang beramal dengan nilai-nilai kebaikan. Di samping itu, ianya bersifat mandir, iaitu mampu terus wujud dan memperbaiki dirinya sendiri. Sebuah ciri yang penting dalam pembinaan tamadun ideal seperti mana dikemuka kan oleh Jean Jacques Russeau di dalam karyanya, Discourse On The Origin Of Inequality. Ciri yang ketiga  bagi sebuah Biah Solehah pula ianya haruslah bersifat seperti air yang mengalir membasahi lembah, iaitu bukan sahaja baik dengan sendirinya, bahkan mampu mempengaruhi manusia lain untuk turut menjadi baik. Dalam bahasa lainnya ianya harus bersifat inklusif.

  Nilai yang luhur, kemandirian dan inklusif, Ketiga-tiga kata kunci ini penulis percaya andai dinilai dengan adil, maka dapatlah bersama kita leraikan kusut simpulan yang melanda ummah dalam soal Biah Solehah ini.

Masyarat Madani Berjiwa Luhur

  Sebuah masyarakat madani yang luhur, ataupun sebuah warga sivil yang mulia seharusnya mereka memiliki kuali-kualiti kemulian nilai peribadi. Timbul beberapa permasalahan dalam perihal ini terutamanya dalam memilih perkara apa yang harus dianggap sebagai nilai murni.  Andai kita melihat kembali lipatan sejarah, kita akan mendapati wujudnya proses alterasi terhadap corak pandangan masyarakat terhadap sesuatu nilai.

  Sesuatu perkara yang dianggap  nilai pada satu zaman, boleh dianggap tidak berciri kemuliaan  pada zaman yang lain. Dekonstruksi dan rekonstruksi jaringan nilai murni sebuah masyarakat, khususnya yang tidak mengimani konsep kebenaran mutlak adalah suatu perbahasan aspek sosial yang sangat meletihkan bahkan kadangkala , menyedihkan.

  Sungguh bertuah sekali umat Islam kerana dianugerahkan dua permata yang menerangi kelam perjalanan menempa kejayaan tamadun yang ruwet ini. Al Quran dan As Sunnah telah menjadi jalan singkat kearah pembinaan tatasusila masyarakat kerana kandungan nilai murni yang didatangkan daripada Tuhan sendiri. Keduanya Membentuk sebuah antologi nilai-nilai murni yang merentas dimensi zaman dan tempat. Sebuah antologi yang  kekal sehingga akhir masa.

  Dari satu sudut, bolehlah dianggap kejayaan Islam mengeluarkan Jazirah Arab daripada kemunduran agung sebagai manifestasi kod tatasusila yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.Hal ini tidak berlaku kepada tamadun lain melainkan islam sahaja. Kekurangan kod tatasusila merencat proses bergerak kehadapan kerana kurangnya disiplin dan konsistensi dalam memacu arah pembangunan.

 Daripada pengamatan ini, terhurailah rahsia bagaimana sebuah wilayah hina, yang enggan ditakluk oleh kerajaan Parsi dan Byzantine kerana bimbang terpalit kehinaannya berubah menjadi kuasa besar dalam jangka masa yang demikian singkat. Maka darihal itu penulis mengajak sekalian warga untuk senantiasa memelihara kemulian dua permata ini dari sebarang inovasi dan penyalah tafsiran.

Kemandirian Masyarakat Yang Luhur

  Sebuah biah solehah, tidak dibina melainkan untuk terus wujud. Ianya bukanlah simbolik kejayaan seorang pemimpin yang mahu kelihatan berjaya mengurus manusia semata. Bahkan, ianya sebuah legasi yang terus-menerus berkhidmat bakti kepada manusiawi.

  Seringkali seorang pemimpin itu, dalam usaha membentuk sebuah biah solehah cenderung memanipulasi kuasa dan pengaruh dalam membentuk model masyarakat ideal versinya sendiri. Maka digunanya kekerasan dalam melentur hati manusia. Dilaksanakan program-program moral policing dalam usaha menempa kejayaan segera. Segalanya dilakukan di atas nama agama. Sehingga sesiapa yang menentang usahanya, dianggap musuh kepada agama Tuhan.

  Sebuah Biah Solehah tidak boleh dibentuk begini. Apalah ertinya keris yang lekas siap andai tidak berpamor indah, bahkan retak menanti belah apabila bertikaman!
  Sedangkan membuat keris itu sendiri harus berseni, apakah empu keris sezaman moyang masih berhak mengaku ahli sepanjang zaman? Bagaimana mahu dibina sebuah legasi andai pemimpin tidak boleh ditegur?

  Makanya disini dicoretkanlah penulis sebuah pesanan kepada sekalian mereka yang memimpin masyarakat agar senantiasa mendengar suara nasihat anak-anak jagaan mereka dalam menata biah solehah. Apalah erti sebatang cengal jikalau tidak kerana akarnya utuh mencengkam bumi.

  Dalam memastikan sebuah biah solehah yang dibina terus utuh, tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Ibarat bedar membelah badai hitam hati manusia, maka hendaklah senantiasa ia ditegur dan ditambah baik dari zaman ke zaman. Dengan berputarnya alam, semakin dililit kemas ikatannya. Dan bagaimanakah ini mampu terjadi andai pemimpin tidur tidak sebantal?

Air Yang Mengaliri Lembah

  Selesai kita berbicara tentang jasad sesebuah biah solehah itu, dan setelah habis dicoret kepentingan agar ianya bersifat dinamik dan beradaptasi, maka ditintakan pula disini apa yang diertikan sebagai sebuah masyarakat ideal yang sifatnya mendamai dan menyuburkan. Ia boleh menjadi sumur di ladang tempat dagang melempias hausnya, boleh juga mengalir tenang menjadikan bumi indah kehijauan.

  Adapun diceritakan di dalam sebuah hadis junjungan;
  “Seseorang berada atas agama sahabat baiknya. Maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapakah dia jadikan teman rapatnya “(Riwayat Ahmad, dinilai hasan oleh al-Albani).

 Maka persoalan yang timbul adalah, sejauh mana peranan biah solehah mempengaruhi perbuatan seorang manusia, sehingga dianjur cara memilih sahabat oleh baginda Rasul?

  Adapun di dalam kajian sains psikologi barat, setelah indera yang lima mencerap maklumat di dalam kefanaan dunia, maka disampaikan pula kepada deria akal untuk melakukan proses reasoning. Iaitu fasa memproses maklumat mengikut baik dan buruk lantas di manifestasi melalui perbuatan.

  Adapun sebagai seorang muslim, penulis percaya ianya tidak terus demikian. Ternyata setelah dicerap indera yang lima lalu disampai kepada aqal, maka harus pula ianya turun ke hati untuk dinilai benar-salahnya. Sekiranya tiada proses ini maka apakah yang membezakan antara kita dan mergastua? Di mana letaknya nilai kemanusian andai sesuatu perbuatan dinilai diatas paksi untung rugi sahaja?

Kembali kepada proses awal,sebelum cerapan inderawi itu sampai kepada akal, maka ianya terlebih dahulu sampai kepada dua perkara, iaitu social learning dan natural instinct


  Natural instinct yang bermakna naluri alami boleh didefinisikan sebagai nilai intrinsik yang wujud di dalam sanubari manusia. Ianya merupakan sebuah kualiti yang wujud tanpa perlu melalui proses pembelajaran. Tariq Ramadhan, mengumpakannya sebagai a state of fitrah, iaitu keadaan tulen jiwa manusia sebelum dicemari sepanjang proses membesarnya seorang anak kecil. Tambahnya lagi, tujuan asasi manusia hidup, ialah untuk mencapai kembali status suci sebagaimana manusia dilahirkan, dengan berpandukan proses pembelajaran intelektual.

  Manakala social learning pula,ungkapan yang dipopularkan oleh Albert Bandura ini merupakan kesinambungan kepada traditional behavioral theory yang menganggap proses pembelajaran manusia itu semata berasaskan pembelajaran langsung.

  Menurut Albert Bandura, manusia juga mampu belajar, selain daripada di dalam bilik darjah, melalui pengamatan terhadap komuniti sekitarnya. Proses pembelajaran disifatkannya sebagai sebuah usaha kognitif yang mampu berlaku secara tidak langsung dengan memerhatikan masyarakat sekeliling.

  Namun apa pula kaitan teori-teori ini dengan perbahasan kita? Adapun setelah dibandingkan antara naluri semula jadi dan proses social learning, kita akan mencapai kesimpulan bahawa semakin kompleks sistem neuron sesebuah makhluk, akan berkuranglah kebergantungannya kepada naluri alami. Proses-proses pembelajaran bawah sedar adalah lebih tertumpu kepada suasana komuniti itu sendiri. Dari itu, ternyata bertepatan sekali saranan Rasul junjungan agar kita berhati-hati dalam memilih rakan.

 Sebagai kesimpulan, meskipun seseorang itu tidak belajar secara langsung dari masyarakatnya, namun tempias nilai-nilai yang dikongsi bersama itu tetap terpalit kepadanya secara minda bawah sedar. Maka bertambah-tambah lagi kepentingan pembinaan sebuah biah solehah dalam menyahut seruan baginda Rasul.
 
Beberapa Nasihat Dalam Menasihati

  Dalam berdiskusi tentang biah solehah ini, tidak dapat tidak harus juga dirincikan tentang adab dan akhlak dalam memberi nasihat. Sungguhpun proses social learning berperanan penting dalam pembentukan minda bawah sedar, namun akal yang waras masih menjadi penentu utama dalam membentuk perlakuan manusia yang menjadi functional unit sesebuah masyarakat. Nasihat yang berhikmah seringkali diutarakan sebagai solusi. Namun apakah yang diertikan sebagai sebuah nasihat yang berhikmah itu sendiri?

  Di sini penulis coretkan tiga prinsip asas dalam berdakwah dan menasihati yang dikarang oleh tokoh pemikir Islam, Ismail Raji Al-Faruqi. Penulis memilih nasihat-nasihat baiknya kerana memikirkan betapa culas ummah hari ini dalam mengalirkan jernihnya biah solehah sehingga kadangkala merosakkan tanam-tanaman dek kerana usaha-usaha melarikan diri daripada tanggungjawab seperti melepaskan batuk di tangga.

  Ciri pertama yang digaris Al-Faruqi adalah kebebasan. Menurutnya, dakwah tanpa elemen kebebasan merupakan sebuah capital crime yang tidak boleh dimaafkan. Sesebuah usaha dakwah hanya mampu disempurnakan dengan adanya integriti kebebasan  antara yang menasihati dan dinasihatkan.

  Atas dasar apakah Al-Faruqi menyenaraikan nilai ini sebagai asas sesebuah penyeruan kepada tuhan?

  Kebebasan untuk menerima atau tidak, adalah asas kepada penghormatan nilai intelektual seorang manusia. Setiap amal yang terhasil daripada iman yang teguh itu, pada asalnya merupakan penerimaan terhadap ideologi yang disampaikan. Terus mana mungkin sebuah akal yang sihat menerima sebuah wacana andai kehormatan intelektualnya tidak dipenuhi? Berdasarkan konsep inilah penulis membangkang konsep moral policing sebagaimana disebut sebelum ini.

  Tujuan dakwah itu, adalah untuk menyeru manusia berfikir akan kebenaran tuhan. Ianya bukanlah sebuah indoktrinasi yang melahirkan ekstrimis yang buta mata hati. Agama bukanlah sebuah parti politik yang memerlukan pengikutnya taat membuta tuli.

  Nilai yang kedua pula adalah pendekatan rasional. Dalam menasihati, elemen ini turut menjadi komponen dalam memuliakan intektual manusia. Erti rasional menurutnya adalah untuk berlandaskan fakta dan hujah, bukan emosi yang tidak waras serta penuh penghukuman. Ulasnya lagi, sebarang keputusan untuk berubah, hendaklah juga  di atas paksi rasionaliti. Dalam erti kata lain, seseorang yang dinasihati hendaklah diberi ruang untuk menimbang tara hujah yang diberikan oleh yang menasihatinya.

  Al-Faruqi menentang konsep menekan mereka yang didakwah baik secara psychopathic expansion, mahupun secara psychotropic induction. Secara mudahnya, pendekatan licik dalam berdakwah secara memainkan isu emosional, lantas melarikan diri daripada pendekatan rasional hendaklah dielakkan. Termasuklah di dalamnya pendekatan memanfaatkan situasi tragis sebagai sebuah pathos dalam memujuk manusia kepada tuhan.

  Selesai ditinta yang awal dan kedua, penulis coretkan pula nilai ketiga daripada perspektif Al-Faruqi iaitu sifat universal nilai dalam berdakwah.

  Seringkali kita menggelar sahabat-sahabat islam kita sebagai saudara seagama, sehingga acap pula kita lupa hakikat bahawa mereka-mereka yang tidak dikurniakan nikmat islam itu, hakikatnya juga adalah saudara sepencipta.

  Adapun hakikatnya tidaklah syaitan dan jin yang menjadikan umat Kristian dan Yahudi. Dan masyarakat atheist itu sendiri tidaklah mereka berasal daripada proses evolusi seekor beruk meskipun mereka mengaku demikian. Allah yang maha besar, telah menciptakan segenap manusia di dunia ini. Dan ditiupkan ke dalam hati mereka nilai-nilai murni yang sifatnya universal, tidak berbeza antara sesuatu penganut agama dengan dengan yang lain.

  Sifat cintakan kedamaian, membenci kezaliman, cinta pada ibu bapa dan sebagainya adalah nilai fitrah yang diwujudkan semenjak setiap anak Adam itu lahir. Sebahagian fitrah ini hilang, khususnya apabila mereka tidak lagi menjadikan Rabbul Jalil sebagai tempat berpaling.Namun tidaklah berhak mana-mana muslim mengaanggap hanya ummat islam sahaja yang baik akhlaknya.
 
  Adapun tujuan kita berdakwah itu adalah untuk membawa rahmat agama Islam kepada sekalian warga dunia Ilahi, Namun seringkali kita tersilap langkah dalam menjayakan gagasan mulia ini.

  Pada pengamatan penulis, telah wujud suatu penyakit dalam kalangan muslim hari ini untuk terlalu gopoh mengislamkan manusia. Pernah suatu ketika seorang pemain bola sepak professional mengesahkan bahawa dia seorang muslim, maka bersorak lah sekalian bala tentera netizen islam mendengarnya. Sungguh meggelikan hati memikirkan bagaimana sorakan gembira mereka menyepi tidak lama kemudian, kerana pemain bola itu terpalit kontroversi pedofilia.

  Pada pandangan penulis, hanya mereka yang tidak pernah hidup bersama masyarakat bukan islam sahaja yang mengenepikan nilai universal ini. Metodologi dakwah mereka hanyalah teori yang tidak pernah diuji kerana takut meninggalkan zon selesa.

  Apabila menasihati, maka dekatkan hati mereka kepada nilai-nilai universal yang hakikatnya diciptakan Allah jua. Tidak ada maknanya kita meramaikan bilangan ummat andai fitrahnya bersimpang siur. Apakah kita mahu melahirkan sebuah lagi Islamic state of Iraq and Syria (isis)?

  Di dalam sebuah hadis yang terkenal ada disebut tentang peristiwa penyakit akhir zaman yang melanda umat islam. Sabda baginda ketika itu umat Islam ramai jumlahnya namun seperti buih di lautan.

  Ternyata pada sabda baginda, nilai kuantiti itu tidak sekali-kali akan pernah kurang pada umat Islam. Bahkan Islam sendiri sering dikaitkan sebagai agama yang paling cepat berkembang. Namun sayang pada masa yang sama aktiviti terorisme juga turut di terpalit kepada umat pilihan ini.

 Sudah tentu kita boleh sahaja mengatakan ianya fitnah daripada barat. Kita boleh mengatakan bahawa ISIS itu ciptaan MOSSAD, namun saudara kita di kampung yang menyokong penyembelihan ISIS itu,  adakah juga dilatih Amerika sebagaimana dakwaan kita kepada Abu Bakar Al-Baghdadi?

  Natijahnya, ternyata apabila menasihati sesama manusia, kita seharusnya mengfokuskan kepada pembaikan nilai fitrah sebelum perkara-perkara khusus keagamaan. Bukanlah penulis mengatakan bahawa usaha pengislaman itu tidak perlu, namun komrad yang menggalas panji-panji Islam ini, terlebih dahulu hendaklah keislamannya bukan semata-mata pada nama kearaban dan bahasa ‘ana-enta’ nya.

Penutup

  Sejujurnya, dalam mana-mana penulisan sekalipun, bahagian yang paling sukar ditulis adalah penutupnya. Entah sudah terlepas tanggungjawab entah tidak, entah semakin terang atau semakin kelam. Apa-apapun, segala yang kurang ditambahkanlah, yang tawar dimaniskanlah. Apa yang terguris maka ubatilah dengan sangka baik dan kasih sayang.

  Sudah terlalu lama kita bermain kata, kadang sekadar mengherdik cela, kadang hanya bertopeng muka. Adapun soal dilema biah solehah ini, andai tanpa kejujuran maka tetaplah ia kekal begitu.
Ilham Mazalan

Rujukan
-The Communist Manifesto And Other Revolutionary Writings-Dover Publication
-Islam And Other Faith-Ismail Raji Al-Faruqi
-Western Muslim And The Future Of Islam-Tariq Ramadhan-
-Ibn Taymiyyah Essay On The heart-Dr Abu Ameenah Bilal Philips
-Mana-mana Wikipedia yang bersangkutan
-Edukasi.Kompasiana.com


 

  

MENGAPA TAKUT MEMBACA


PENDAHULUAN
  Ilmu adalah sebuah hasil proses cerapan indera yang lima terhadap alam, yang ditafsirkan ke atas indera akal lantas dimanifestasi sebagai sebuah pengetahuan yang baru. Dengan perkembangan dunia penulisan, indera penglihatan telah mengambil tempat sebagai sumber utama perkembangan ilmu yang disampaikan dalam bentuk penulisan-penulisan kreatif, kritis dan imaginatif. Dengan berwasilahkan buku-buku, jurnal , majalah dan olahan aplikasi teknologi seperti penulisan berformat elektronik dan sebagainya, peri-pentingnya proses membaca untuk meladeni tuntutan indera penglihatan usah lah kita persoalkan.

KEPENTINGAN MEMBACA
  Sejarah telah menjadi saksi bagaimana nilai penghayatan terhadap penulisan menjadi kemuncak dalam keagungan sesebuah tamadun. Dari timur ke barat, Masyarakat yang matang (self-contextualized society) senantiasa sedar kepentingan pendokumentasian ilmu agar ianya dapat terus dipanjangkan ke generasi mendatang. Kesedaran ini penulis sifatkan diatas kepentingan proses thesis dan antithesis dalam sinthesis ilmu. Tidak dilupakan hakikat bahawa tamadun yang sejahtera senantiasa bersifat mandir, iaitu berupaya memperbaiki dirinya sendiri. Maka bertambah-tambah lagi kepentingan bidang penulisan dan pembacaan sebagai adiwira intelektual sesebuah masyarakat.
   Ismail Raji Al-Faruqi telah menganggap bahana yang menimpa umat islam dewasa ini adalah sifat malas mencari ilmu pengetahuan (malaise of the ummah). Lantaran itu, bersama Syed Naquib Al-attas, filusuf Palestina ini telah menggarap teori Islamisasi Ilmu yang bertujuan merungkai konflik antara muslim progresif dan tradisionalis dalam konteks penilitian ilmu. Segala usaha intelektual-intelektual agung ini amatlah kita hargai kerana merenung kembali betapa miskinnya jiwa keilmuan masyarakat islam dewasa ini.

BAGAIMANA MEMBACA BUKU?
 Di awal artikel ini penulis berkisah tentang indera yang lima, serta hubung-kait nya dengan indera akal. Disini akan penulis perincikan apa itu yang digelar proses pembacaan dan keilmuan;
  Dari awal, ternyata lebih bijaksana untuk kita menilai dari aspek asal proses pembacaan itu sendiri. Apabila membuka sesebuah buku, para pembaca harus-lah sedar terlebih dahulu mengenai prinsip asas untuk tidak menerima atau membangkang sebarang penulisan yang dibaca. Seringkali masyarakat kita terlalu bersifat binary. Miskinnya adab dan etika menjadikan kita berjiwa mufti lantikan sendiri. Terus setiap pembacaan kita ukur dengan nilai haram dan halal. Sikap gopoh dan judgmental ini akhirnya telah membawa kepada stagnancy of knowledge.
 Usai proses pembacaan. Kita bergerak pula ke tingkatan seterusnya, iaitu berfikir. Jiwa yang luhur, tidak hanya melihat kepada apa yang dibaca, malahan turut mencari punca sesebuah wacana itu dilontarkan. Hal ini amat penting dalam usaha menghapus prasangka terhadap penulis yang mengolah idea-idea yang dihadam. Untuk memantapkan proses ini, keluasan pembacaan itu sendiri menjadi satu kemestian. Setelah melihat baik buruk, dibanding-banding pula dengan disiplin ilmu yang luhur akan benar-salahnya, maka barulah kita boleh menghukum. Itupun tidak semua! Adapun hakikat keluasan ilmu dan kedaifan manusia itu harus disedari. Ada yang boleh kita katakan benar, ada yang dianggap salah, dan terlalu banyak pula yang harus kita katakan padanya;
‘Aku tidak tahu’…
  Maka setelah habis membaca dan berfikir semampunya, maka sampailah saat di nilai ilmu tersebut bebas dari kepentingan diri yang kadang kala hadir secara bawah sedar. Maka penulis coretkan pula di-sini mengenai kepentingan berwacana.

 Habermas telah menggarap teori wacana dengan baik sekali. Teorinya yang menggabungkan empat aspek utama iaitu kejelasan (verstandlichkeit), kebenaran (warheit), ketepatan (richtigkeit) dan kejujuran (warhaftiget) ini bertujuan mencapai sebuah kesahihan dakwaan yang utuh.
  Jelas, benar, tepat, dan jujur. Elemen ini bertitik tolak daripada usaha untuk melahirkan wacana yang ilmiah, produktif dan berkesan. Dewasa ini, dengan kebangkitan gerakan intelektual dan pembudayaan buku, maka masyarakat kita telah terjerat dalam krisis pseudo intelektual yang rumit. Wacana-wacana dan diskusi dianjur tanpa garis panduan yang jelas, sehingga menjadi sekadar pembaziran masa dan tenaga. Tidak pula ianya membawa apa-apa kebaikan bahkan ada pula yang dieksploitasi oleh warga nista yang berkepentingan.
 Aspek lain yang tidak kurang pentingnya termasuklah dari segi teknikal. Apa yang dibaca, siapa penulisnya, tarikh publikasi dan lebenswelt (dimensi zaman) penulis hendaklah dititik beratkan.

MOMOKAN SESAT KEPADA PEMBACA
   Adapun belakangan ini timbul pula satu isu baru, iaitu takut sesat kerana membaca. Bercakap dari sudut yang adil, ketakutan ini ada asasnya. Sekian lama masyarakat kita di momokkan oleh segelintir warga nista yang mengeksploitasi malaise of the ummah ini. Sudah lah malas berfikir, di tambah pula dengan ketakutan menjadi sesat, maka sempurnalah bersemi kebodohan masyarakat. Tidaklah ada sesiapa yang beroleh untung melainkan sedikit sahaja oportunis sahaya dunia material.
 Namun apakah maksud sesat? Apakah sesat ini bermakna menyimpang daripada kebenaran? Jika demikian tidakkah ini bermakna kita semua adalah warga sesat yang sudah jauh dari syurga? Tidakkah dari sudut khilaf keagamaan juga sudah terlalu banyak berbeza pendapat, maka adakah ini bermakna syurga akan sunyi, kerana ummah sudah lari dari pendapat yang benar?

 Di sini, ingin penulis nasihati agar kita merenung kembali huraian Dr Yasir Qadhi apabila menyentuh isu hadis 72 (tujuh puluh dua) golongan. Dan bagaimana beliau menghurai pula kata-kata IbnTaymiyyah dalam hal ini, nescaya padanya akan mendapat kita kebaikan yang bukan sedikit.
 Ternyata setiap daripada kita ingin akan kebenaran. Namun apakah kebenaran mutlak, yang merentas zaman itu wujud? Apakah benar dakwaan yang mengatakan bahawa hakikat kebenaran itu relatif dan berubah mengikut apa yang diingini masyarakat? Apakah benar dakwaan orientalis, bahawa prinsip essence of religion di dalam islam itu tidak wujud, bahwa islam sendiri tidak menggariskan benar salah, melainkan ditentukan oleh lebenswelt umatnya yang mandir sendiri seperti tohmahan Wilfred C.Smith yang dikritik teruk oleh Ismail Raji Al-Faruqi?
 Pada pendapat penulis mana-mana insan yang bertuhan, maka perlu dia percaya akan kewujudan kebenaran mutlak. Hal ini kerana kebenaran relatif berkisar daripadaperbezaan dan relativiti situasi seseorang. Manakala Tuhan itu sendiri, bersifat agung dan maha melihat, sehingga boleh baginda lihat segala jaringan peristiwa dan dimensi. Maka ya, Kebenaran mutlak itu wujud!
 Maka beralih pula kepada bahagian seterusnya, adakah manusia boleh mencapai kebenaran mutlak? Isu ini telah menjadi kontroversi kerana kurangnya perincian tentang aspek ini. Bagi penulis lebih baik kita terlebih dahulu membezakan antara kalimat mencapai, dan kalimat mengishtiharkan.
  Andai kita tiba di persimpangan, dilemma dalam memilih jalan yang kiri atau kanan, maka sudah tentu tuhan yang maha esa tahu akan pilihan mana yang benar. Ini sekaligus bermakna, berfikir secara merentas dimensi fizik dan metafizik, kebenaran mutlak itu wujud. Namun adakah manusia itu dapat menggapai kebenaran mutlak? Andai pilihannya sama dengan kebenaran di sisi tuhan, maka sudah tentu boleh. Maka kita bergerak ke arah mengishtihar kebenaran itu.

Maka di sini masalahnya terjelas, hakikat bahawa kebenaran mutlak itu wujud, membolehkan manusia menggapainya. Namun pada masa yang sama manusia itu sifatnya daif, maka dia tidak mampu melihat seluruh jaringan relativiti sebagaimana dilhat tuhan. Maka dengan ini penulis rumuskan bahawa wujud kebenaran yang merentasi zaman dan masa mutlaknya, manusia mampu menjapai kebenaran ini, namun dia tidak berhak untuk mengishtiharkan ianya mutlak melainkan apa yang telah jelas diceritakan oleh tuhan melalui Al-Quran dan Hadis.
 Berbalik kepada soal sesat atau tidak, maka ternyatalah bahwa selagimana apa yang kita pegang itu tidak bercanggah dengan apa yang telah sepakat tanpa sebarang khilaf oleh sekalian para ulama, iaitu sekadar melibatkan dimensi yang ijtihadiyyah dan mutaghayyirat, maka soal tersesat jalan ini menjadi nombor dua. Maka apakah yang menjadi lebih utama dalam hal ini? Jawapannya adalah hati yang ikhlas dalam mencari kebenaran.  Andai benar wujud seorang manusia yang pegangannya persis, ibarat cerminan kepada Rasul Muhammad, namun andai hatinya tidak ikhlas, maka menjadi bara api neraka juga akhirnya.

SALAH FAHAM TERHADAP ETIMOLOGI FALSAFAH
  Baru-baru ini juga, penulis mendegar suara-suara yang menentang pembacaan bahan bacaan yang berunsur falsafah. Maka terkesima penulis sendirian, cuba  memahami kerunsingan ini. Ada sebahagian pihak menggap ungkapan ini sebagai semboyan perang untuk bertindak melempiaskan amarah terhadap golongan tradisionalis, yang pada mereka terlalu jumud. Bagaimanapun, penulis lebih terarah untuk merungkai isu ini, berbanding pendekatan deskriptif yang entah benar-entah tidak.
  Perkataan falsafah, seringkali dirujuk oleh sebahagian’ intelektual muda’ sebagai berasal daripada perkataan al-falsafah daripada bahasa Arab. Namun asal sebenar perkataan ini dipercayai awalnya dari kalimat Greek purba ‘philosphia’ yang bermakna kecintaan kepada ilmu dan hikmah. Secara umumnya, perkataan falsafah merujuk kepada pengetahuan esensi yang paling asas dalam sesebuah bidang.
Terdapat perbezaan yang ketara antara ‘philosophical approach’ dan ‘ technical approach’ dalam penilaian kritis sesebuah ilmu. Sebagai contoh, dalam skop bidang pendidikan, andai kita menyentuh sesuatu isu dengan mengambil pendekatan falsafah, maka kita mungkin akan dibawa kepada argument essensi seperti “matlamat sebenar sistem pendidikan itu apa?” atau “apakah darjat sosial sebenar seorang yang terpelajar?”. Manakala andai dirujuk dari skop teknikal kita mungkin akan bersoal tentang gaji seorang guru, bilangan pelajar yang efisyen di dalam sebuah kelas dan sebagainya. Jelas akan perbezaan dua unsur yang ketara bezanya ini amatlah membantu dalam menarik benang yang tersimpul rumit yang akhirnya menjerat kaki ummat sehingga statik tidak bergerak.
  Melihat kembali sejarah islam di Andalus, bagaimana tingginya perhargaan mereka kepada  bidang falsafah sehingga memberi gelaran kepada Aristotle sebagai ‘ muallim al-awwal’ kerana sumbangannya kepada proses logik dalam mencapai kebenaran. Walau bagaimana pun, tidak ada sebarang sumber keilmuan yang berhak disihtihar benar tanpa dinilai melalui  Quran dan Sunnah sebagaimana yang telah disebut tadi. Namun, untuk menolak seratus peratus sesuatu kejayaan itu sendiri bukanlah sesuatu yang bijak. Kepentingan terhadap universaliti hikmah dan ilmu itu penting dalam sebuah masyarakat yang belajar melalui mimesis antara satu sama lain.
   Untuk memudahkah pemahaman, penulis berkecenderungan untuk membahagikan bidang falsafah kepada tiga juzuk utama. Pembahagian ini hanyalah semata untuk menambah lagi reifikasi dan pengkatogorian yang sedia ada dalam bidang ini.
 Juzuk pertama di dalam pembahagian penulis adalah juzuk falsafah  fizikal umum. Adapun yang terkandung di dalamnya adalah segenap ilmu-ilmu duniawi daripada pendidikan, ekonomi, ketenteraan, politik dan sebagainya.  Tokoh-tokoh yang popular dalam bidang falsafah fizikal umum ini termasuklah Habermas dalam bidang rasio-komunikatif, Machiavelli dalam bidang sains politik, dan Tsun Zhu dalam bidang falsafah ketenteraan (yang akhirnya dimanipulasi untuk menjadi bernas dalam etika perniagaan). Tidak dilupakan De Bono yang mengajar tentang falsafah berfikir moden serta termasuklah Marx dan Adam Smith, yang menghasilkan falsafah ekonomi yang kita gelarkan sebagai Sosialisme dan Kapitalisme
  Nasihat penulis kepada sekalian komrad muslimin, bidang-bidang ini hendaklah dikaji dan dikongsi bersama kerana kesannya yang besar dalam mempengaruhi perkembangan tamadun masyarakat zaman ini. Hapuskan prasangka dan tohmahan serta huraikan secara adil dan saksama tanpa berlaku zalim kepada sesiapa. Sesungguhnya mencari ilmu itu ibarat mengutip permata di celahan kaca, hanya jauhari mengenal  manikam, dan jauhari tidak akan meninggalkan manikam-manikam sopek terbiar di celahan kaca melainkan dikutipnya lantas dibaiki mana yang kurang.  Yang mana yang pecah dan kusam  itu, sempurnakanlah dengan iman dan islam.
  Dalam juzuk yang kedua pula, penulis namakannya sebagai falsafah fizikal keagamaan. Adapun ianya bersangkut paut mengenai essensi agama yang yang melibatkan dunia fizikal yang boleh dicerap inderawi. Persoalan yang terkandung dalam falsafah ini termasuklah mengenai fungsi agama sebagai pembebasan, seperti yang ditulis Ali Syariati, universality nilai dan agama sebagaimana dimaknakan oleh Al-Faruqi serta ramai lagi filusuf-filusuf islam lain seperti Tariq Ramadhan, Al Banna, Muhammad Abduh, Leopold Weiss (Muhammad Assad) dan sebagainya.
   Adapun dalam Juzuk kedua, ianya melibatkan pembabitan keilmuan yang luas dalam bidang agama, maka barangsiapa yang memiliki kemahiran keatasnya hendaklah dia berusaha gigih semampunya. Juzuk ini bukanlah sesuatu yang boleh diceburi oleh mana-mana orang awam tanpa persediaan yang rapi, namun tidaklah sehingga bermakna ianya haram dibaca.
 Juzuk yang ketiga, iaitu yang terakhir, ialah apa-apa yang melibatkan alam ghaib seperti kiamat, syurga dan neraka, malaikat dan sebagainya. Juzuk yang penulis namakan sebagai Juzuk falsafah metafizikal keagamaan ini, pada pendapat peribadi penulis, hendaklah dijauhi melainkan apa yang terkandung di dalam Al-quran dan As-sunnah sahaja. Hal ini adalah kerana dunia metafizik adalah bebas daripada sebarang konsep logik dan prinsipnya.
 Pembahagiannya yang jelas dalam etimologi dan pengkategorian falsafah amatlah penting dek melihat terlalu ramai yang beremosi dan prejudis terhadapnya. Adapun sebagai khatimah pembahagian ini, dapatlah dilambangkan tiga juzuk ini sebagai tiga lampu isyarat. Iaitu falsafah fizikal umum sebagai hijau, fizikal keagamaan sebagai kuning, dan falsafah metafizikal keagamaan sebagai merah. Sungguh ironi bilamana seorang yang melarang manusia berfalsafah dalam zon hijau atas alasan ianya berasal dari barat, namun pada masa yang sama petah berfalsafah tentang zon merah yang kadangkala sehingga mencipta perkara yang tidak disebut di dalam Al-quran dan Hadis.

ISLAMISASI ILMU
  Istilah ini pada asalnya dirumus oleh Syed Naquib Al-Attas, seorang filusuf islam yang menjadi idola kepada Syeikh Hamza Yusuf. Turut berkongsi pandangannya termasuklah Ismail Raji Al-Faruqi dalam mencari solusi ‘malaise of the ummah’ yang penulis coretkan di awal tadi.
 Al-Faruqi memandang serius fenomena limpahan kebajiran ideologi-ideologi dari barat kerana runsing ianya akan melanggar etika keislaman serta tidak selari dengan ekologi dan reality sosial masyarakat islam. Namun insaf akan kelemahan intelektual muslim dewasa ini, maka sebuah jalan keluar harus dicari. Tidak ada gunanya berkeluh kesah tanpa maju kehadapan, Maka gagasan islamisasi ilmu mula dijulang oleh tokoh-tokoh intelektual ini.
 Sekiranya kita melihat kepada kelahiran idea tersebut, kita akan mendapati ianya lebih kepada gerakan defensif. Namun berbeza dengan pendekatan umum masyarakat yang tertewas, idea Islamisasi Ilmu berupaya melancarkan serangan balas terhadap ideologi-ideologi dari barat.

 Namun apakah yang dimaknakan sebagai islamisasi ilmu? Secara mudahnya ianya merupakan sebuah penerimaan terhadap falsafah-falsafah barat yang kemudiannya di nilai dari kaca mata islam untuk dimanfaatkan. Adapun pada pendapat penulis, istilah yang lebih penulis sukai ialah ‘penyempurnaan ilmu’ kerana mengenang sifat universaliti nilai falsafah fizikal umum yang dikongsi setiap manusia.
Adapun apa yang mahu di-islamkan atau di-sempurnakan ini, tidaklah sehingga menerima falsafah metafizik barat. Satu garisan diskrit harus dicipta dalam usaha menjaga keaslian agama islam.
Dalam usaha penelitian bahan ilmiah untuk di-islamisasikan, maka terlebih dahulu wujud kepentingan terhadap pemerhatian essensi sesebuah pegangan, maka baharulah kita dapat bersikap adil. Tidak dapat tidak, pembacaan yang meluas dan menyeluruh serta bebas dari prejudis hendaklah diwujudkan. Seringkali melanda masyarakat kita hari ini, penolakan bulat-bulat terhadap ideologi barat telah menjadi gejala malang yang merencatkan pergerakan ilmu. Ini tidak dikira lagi tohmahan dan fitnah yang tidak berasas serta tiada nilai keilmuan. Kesannya tidaklah dapat di-ambil apa yang bermanfaat lalu tinggallah kita tidak bergerak, ditindas, dizalimi diri sendiri.
 Namun idea islamisasi ilmu ini sendiri tidak sunyi daripada kritikan. Ada yang mengkritik dari sudut linguistik dan ada yang mengatakan ianya gerakan terdesak ahli falsafah islam untuk membuktikan islam sebagai agama yang syumul. Apabila penulis berbicara tentang idea ini dengan seorang sahabat, maka ditimbulkan soal mengapa harus bernama islamisasi? Sedangkan tidakkah islam itu mencakupi segala ilmu yang ada di alam ini?
 Sejujurnya penulis bersetuju dengan kenyataan sahabat tersebut, dan kerana memandangkan ianya bersifat linguistik, maka penulis memutuskan untuk memilih istilah ‘penyempurnaan ilmu’ apabila membawa gagasan ini dalam kalangan masyarakat islam.


 Wujud sebuah lagi gerakan yang tidak kurang hebatnya dalam menghadapi serangan ideologi-ideologi dari barat ini. Gerakan ini berhasrat membongkar kembali turath-turath lama dengan harapan mentajdid kembali pemikiran ummat islam. Secara peribadi penulis lebih bersama ideologi Al-Attas dan Al-Faruqi kerana berpendapat ianya lebih efisyen dari sudut masa dan lebih bermanfaat dalam menghadapi millennia baru ini. Tidak dilupakan kerana mengenang ribuan turath yang di campak ke Sungai Tigris oleh makhluk gasar Monggol sewaktu peristiwa terbakarnya Kota Baghdad.
  Dipihak mana pun kita berdiri, sama ada menyokong gerakan Al-Attas atau bersama dengan gerakan pembongkaran turath, hendaklah kita bergerak bersama membina kubu ummah ini. Sesungguhnya kita berada di zaman ghazwatul fikir, sebarang perkelahian yang tidak perlu hendaklah di elakkan.
 Dan ya, tidak kira dipihak mana kita berada, andai ummah masih malas dan takut membaca, nescaya akan runtuh dan hancur satu-satunya agama yang diredhai Allah S.W.T ini. Janganlah tangan kita sendiri menghancurkannya kerana ego dan taksub kepada mana-mana doktrin baik daripada jemaah mana sekalipun

PENUTUP

  Adapun soal mulianya ilmu itu sudahlah terang keatas kita, janganlah kelam nurani menghapus limpahan cahaya. Sedangkan lidah lagi tergigit, sedangkan perahu lajaknya berundur tidak. Maka andai ada silap-salah maafkanlah, andai ada terguris di hati maka datanglah kita ubati bersama.
Wallahualam…

Ilham Mazalan

Rujukan;
-Esei-Esei Pencerahan Jalan Telawi.Com
-Pengenalan Tamadun Islam Andalus-Azizan Baharudin
-The Prince-Niccolo Machiavelli
-Religion Vs Religion-Ali Syariati
-Think Before Its Too Late-Edward De bono
-The Art Of War-Sun Tzu
-Islam And Other faith-Ismail Raji Al-Faruqi